itmetro

Revolusi pendidikan

Oleh Muhammad Saufi Hassan

KEMAJUAN teknologi hari ini membolehkan suasana pembelajaran tidak tertumpu kepada fakta bertulis atau bentuk video pegun saja, malah keadaan itu sudah berubah kepada pembelajaran lebih interaktif.

Jika sedekad lalu, pelajar di Malaysia hanya boleh membaca data atau fakta kajian diversiti di hutan Amazon yang terletak di Amerika Selatan dan ketika itu wujud konsep idea yang mencadangkan teknologi akan membuka ruang kepada pembelajaran interaktif seolah-olah pelajar berada di lokasi berkenaan.

Perubahan dunia teknologi terutama membabitkan segmen peranti serta jaringan telekomunikasi membolehkan konsep idea berkenaan direalisasikan pada ketika ini.

Pembelajaran menggunakan Realiti Maya atau ‘Virtual Reality’ (VR) membolehkan pelajar seolah-olah berada di lokasi sesuatu kawasan walaupun terletak jauh dengan destinasi sebenar pelajar.

Syarikat teknologi yang memberi fokus kepada pemodenan pembelajaran, Pinheads Interactive yakin bahawa kemajuan teknologi berkenaan memberi manfaat yang sangat besar kepada segmen pendidikan.

Pengarah Operasi Pinheads Interactive Nikitha Karrai berkata, landskap pembelajaran dalam segmen pendidikan melalui proses transformasi sejak berabad lalu dan kini pelajar boleh menerima manfaat daripada teknologi maya.

Menurutnya, keupayaan teknologi ini juga membuka ruang kepada pelajar untuk merasai atau melihat lebih dekat sesuatu lokasi kajian walaupun ia terletak ribuan kilometer.

“Contohnya, sebelum ini kita mengkaji hutan Amazon yang terletak di Amerika Selatan menerusi data statistik, gambar, bahan grafik atau video pegun saja.

“Kemajuan teknologi membolehkan revolusi segmen pendidikan dapat dilaksanakan dan tidak mustahil, bilik darjah alaf 21 dengan dilengkapi peralatan VR akan dapat dinikmati semua lapisan penuntut,” katanya.

Menerusi pembelajaran VR berkenaan juga, pelajar mendapat maklumat secara lebih padat dan lebih penting platform digunakan secara interaktif dan tidak konvensional.

Landskap pembelajaran konvensional iaitu bergantung kepada buku atau data kajian juga mengalami perubahan apabila teknologi VR berkenaan mampu memberikan fakta dalam kaedah lebih unik serta menyeronokkan.

Sistem pendidikan tradisional juga mengalami anjakan termasuk set kemahiran guru akan mengalami perubahan serta dipertingkatkan untuk membolehkan pembelajaran kaedah moden diperkenalkan.

Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 7:00am
d