itmetro

Dominasi AMD

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PENGELUAR pemproses Advanced Micro Devices (AMD) sekali lagi melakar sejarah apabila pemproses kelas prestasi tinggi keluaran syarikat berkenaan mampu untuk melancarkan permainan Crysis tanpa sokongan kad grafik.

Sebelum ini, tiada pemproses yang mampu melancarkan permainan dengan keupayaan grafik tanpa sokongan daripada unit pemproses grafik (GPU) walaupun perkakasan berkenaan menawarkan teknologi paling terkini.

Bagaimanapun, keupayaan pemproses kelas prestasi tinggi keluaran Advanced Micro Devices (AMD) iaitu Ryzen Threadripper siri 3990X sekali lagi mengejutkan apabila mampu untuk melancarkan permainan Crysis dalam mod perisian.

Pemproses berkenaan mampu untuk melancarkan permainan berkenaan walaupun mencatatkan kadar bingkai sesaat yang rendah namun ia adalah pencapaian baru buat AMD.

Kelas Threadripper sememangnya pemproses kelas berprestasi tinggi yang digunakan untuk tugasan sintesis animasi, video mahupun imej resolusi tinggi.

Syarikat berkenaan mampu untuk mendabik dada apabila semua generasi pemproses keluarannya sudah menewaskan pencabar terdekat mereka iaitu Intel.

AMD Threadripper 3990X menawarkan keupayaan kuasa teras (cores) sebanyak 64,128 Thread menggunakan binaan pemproses berasaskan Zen-2.

Pelancaran Threadripper 3990X dengan tanda harga pasaran sekitar RM16,000 menawarkan kuasa pemproses luar biasa terutama kepada pengguna industri yang sering melakukan tugasan harian seperti sintesis model tiga dimensi (3D), animasi dan suntingan video resolusi Ultra Tinggi (UHD) 4K.

Berdasarkan perisian ukuran prestasi, Cinebench R20 turut menunjukkan penguasaan pemproses keluaran AMD dan produk keluaran syarikat berkenaan menduduki lima tangga teratas.

Tangga keenam diduduki Intel menerusi pemproses mereka Intel Core i9-10980XE dengan catatan markah 8,782 manakala tangga kelima adalah AMD Ryzen 9 3900X.

Pemproses AMD Threadripper 3990X seperti dijangka menduduki tangga pertama dengan markah 24,675 diikuti Threadripper 3970X (17,045) dan Threadripper 3960X (13,711).

Ia menunjukkan bahawa segmen pemproses kelas prestasi tinggi sudah didominasi sepenuhnya oleh AMD dan situasi sama turut berlaku dalam pemproses segmen permainan, pelbagai tugas, kelas pertengahan dan kelas permulaan.

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 7:00am
d