itmetro

Gangguan Internet minimum di Malaysia

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PENGGUNA Internet di negara ini mengalami gangguan akses yang minimum susulan kerosakan terhadap kabel dasar laut milik Telekom Malaysia Berhad (TM).

TM mengambil langkah wajar untuk mengurangkan impak kepada pengguna dan sudah memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kerosakan terhadap satu segmen kabel dasar laut Asia Pasifik (APCN2) yang menghubungkan Chongming, China dan Lantau, Hong Kong (segmen 3).

SKMM dalam kenyataan akhbar berjata, sistem kabel dasar laut APCN2 berkenaan menghubungkan Malaysia ke Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat (AS) dan ia satu daripada 14 sistem kabel dasar laut yang disertai TM di seluruh dunia.

TM sudah mengambil langkah pantas sewajarnya bagi penyuraian aliran trafik yang terjejas melalui rangkaian kabel dasar laut lain miliknya supaya kesan terhadap pengguna dikurangkan.

Selain itu, TM juga mengaktifkan kapasiti tambahan menerusi sistem kabel dasar laut Cahaya Malaysia yang menghubungkan trafik antarabangsa Malaysia ke Jepun.

Pemain industri utama antaranya Amazon.com, Facebook Inc, Google Inc dan Microsoft MSN serta beberapa lagi penyedia kandungan sudah membuat sambungan menerusi kaedah ‘peering’ di Malaysia Internet Exchange (MyIX) di samping penyediakan pelayan ‘cache’ di rangkaian penyedia perkhidmatan Internet tempatan.

Pengguna tidak mempunyai sebarang masalah untuk melakukan capaian kepada Internet dan kesannya sangat minimum kepada pengguna secara keseluruhannya.

SKMM akan terus memantau situasi ini bagi memastikan perkhidmatan Internet kepada pengguna tidak mengalami sebarang implikasi serius khusus ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung.

Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 1:16pm
d