itmetro

Data sensitif bocor

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PENGGUNA siber hari ini lebih prihatin terhadap keselamatan ketika menggunakan kemudahan teknologi dan ia adalah usaha berterusan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bersama CyberSecurity Malaysia (CSM).

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 18 Mac sehingga 28 April depan, kebanyakan pengguna serta organisasi korporat memilih untuk melaksanakan konsep bekerja dari rumah dan ia termasuk urusan mesyuarat yang dilaksanakan secara dalam talian.

Berdasarkan rekod pendataan sepanjang PKP dilaksanakan di negara ini, aplikasi Zoom mencatatkan jumlah muat turun paling tinggi dan ia digunakan untuk tujuan formal serta tidak formal seperti menghubungi ahli keluarga menggunakan sidang video.

Bagi segmen pembelajaran elektronik atau ‘e-Learning’ turut menggunakan aplikasi berkenaan selain daripada Google Classroom untuk meneruskan kuliah supaya ia proses penyampaian ilmu dapat terus berjalan walaupun dalam keadaan terhad.

Jika mengambil contoh kuliah atau kelas e-Learning, ia mungkin tidak mementing aspek maklumat sulit memandangkan ia berpandukan mata pelajaran yang diketahui umum dan sesiapa saja boleh melakukan carian di Internet.

Namun, bagaimana pula dengan segmen syarikat korporat yang menggunakan perkhidmatan berkenaan kerana ia membabitkan data sensitif sesebuah organisasi seperti kedudukan kewangan, strategi pemasaran dan perangkaan masa depan.

Semua maklumat berkenaan diklasifikasikan sebagai sensitif dan wujud dakwaan bahawa aplikasi Zoom mempunyai kelemahan tersendiri yang membolehkan pihak ketiga menceroboh masuk dan memanipulasi data peribadi.

Berdasarkan satu kenyataan yang dimuat naik oleh Zoom, Ketua Pegawai Eksekutifnya, S Yuan berkata, Zoom menggunakan ciri yang digunakan oleh kit pembangunan perisian (SDK) Facebook untuk peranti yang menggunakan sistem operasi Apple, iOS.

Pada 25 Mac lalu, syarikat pembangun aplikasi berkenaan sedar mengenai perkara berkenaan dan usaha untuk meningkatkan keupayaan aplikasi itu dilaksanakan.

Pembangun aplikasi itu memaklumkan bahawa pengumpulan data yang dibuat tidak membabitkan maklumat peribadi pengguna, tetapi menjurus kepada jenis peranti digunakan.

Pengguna boleh mengemaskini aplikasi berkenaan menerusi Apple Store untuk menerima versi kemas kini baharu.

“Kami memohon maaf kepada pengguna yang bimbang berhubung isu berkenaan dan kami tetap komited untuk menghormati polisi maklumat peribadi pengguna,” katanya.

Selain itu, Pakar Keselamatan Siber, Foong Choong Fook berkata, wujud kelemahan dalam aplikasi berkenaan dan pengguna boleh mengambil langkah keselamatan sewajarnya.

“Kita tahu bahawa aplikasi berkenaan menghantar maklumat pengguna kepada Facebook (FB) dan mengesyaki ia bertujuan untuk kempen pengiklanan. Kita juga tidak mempunyai bukti kukuh mengenai jenis maklumat yang dikongsi dengan pihak kedua.

“Bagaimanapun, pengguna seharusnya lebih peka dengan penggunaan sebarang aplikasi dan mereka boleh mengambil langkah berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa jenayah siber,” katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 7:00am
d