itmetro

Papan induk kelas premium

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Pemilihan papan induk atau bahasa yang lebih mudah difahami bagi komuniti pembikin desktop 'MoBo atau Motherboard' adalah penting kerana perkakasan itu akan menentukan tahap prestasi sebenar sesebuah komputer prestasi tinggi.

Jika pengguna melakukan padanan contohnya sebuah pemproses Intel atau AMD yang menggunakan cip soket yang sama namun papan induk kategori kelas pertengahan, kuasa pemproses tidak dapat ditala sepenuhnya dan ini akan mengakibatkan kekangan prestasi atau bahasa teknikalnya sebagai 'Bottleneck'.

Kali ini, penulis mahu melihat satu daripada 14 papan induk menggunakan cip soket sama untuk kelas tinggi yang dikeluarkan oleh ASUS menerusi jenama permainannya iaitu

Republic of Gamers (ROG) iaitu siri Z490 untuk papan induk bagi pemproses keluaran Intel.

ASUS ROG melancarkan 14 model untuk cip soket berkenaan dan yang memberi perbezaan adalah ada sebahagian produk berkenaan dalam kelas pertengahan yang menawarkan harga jauh lebih rendah berbanding model premium untuk prestasi tinggi.

Model berkenaan juga direka khusus untuk talaan prestasi bagi pemproses Intel generasi ke-10.

Semua papan induk yang dilancarkan mempunyai kelas tertentu dan pada kali ini penulis ingin melihat bagi kelas premium iaitu ROG Maximus XII Extreme yang didatangkan pelbagai spesifikasi termaju dalam kelasnya.

ROG Maximus XII Extreme

Tidak perlu diperkenalkan, model ini sememangnya kelas tinggi atau prestasi (Top Tier)

untuk barisan cip soket Z490 memandangkan ia mempunyai beberapa slot kad grafik, penawaran sambungan storan berkelajuan tinggi dan beberapa spesifikasi khusus lain untuk binaan ultra komputer.

Model ini turut dilengkapi dengan MicroFine Alloy yang dipadankan bersama punca kuasa berperingkat dan teknologi ASUS ProCool untuk memberikan kestabilan kuasa teras pemproses Intel.

ROG Maximus XII Extreme ini memberi kelebihan kepada pengguna untuk melakukan talaan memori (RAM) pada frekuensi lebih 4,800MHz malah mempunyai kesesuaian lebih 80 peratus untuk semua kit memori DDR4 pada talaan 4,600MHz.

Model premium ini juga dilengkapi dengan paparan digital berkod dan butang fizikal pada papan induk untuk menghidupkan semula (Power-On), Cubaan sekali (Retry) dan Boot Selamat (Safe Boot).

Untuk kesesuaian bagi kelas premium, ia mempunyai empat slot storan jenis M.2 dan turut didatangkan bersama kad tambahan DIMM.2 bersama sinki haba.

Bagi sambungan jaringan Internet, papan induk ini sudah terbina dengan keupayaan WiFi 6 bagi kestabilan rangkaian Internet termasuk kelajuan optimum tanpa kabel LAN.

Sambungan bagi port USB pula, ROG Maximus XII Extreme menggunakan generasi USB 3.2 Gen bersama dua sambungan Type C yang mampu mencapai kelajuan pemindahan melebihi 20Gbps dan tiga sambungan tambahan USB 3.2 Gen yang memberikan keupayaan kelajuan 10Gbps.

Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 6:30am
d