itmetro

Pemproses mampu milik

Oleh REVIU PRODUK

TINDAKAN syarikat pengeluar pemproses terkenal, Advanced Micro Devices (AMD) melancarkan siri pemproses mampu milik iaitu Ryzen 3100X dan Ryzen 3300X umpama 'tembakan awal' tatkala kebanyakan pengguna menantikan produk pesaind AMD iaitu Intel generasi 10.

Ia bukan saja langkah awal AMD, malah keupayaan pemproses berkenaah berjaya mengatasi pemproses Intel generasi terbaharu, sekali gus 'perlumbaan' ini nampaknya sudah ada pemenang walaupun perlumbaan baru bermula.

Sebelum penulis ingin menyentuh perbandingan pemproses berkenaan, siri Ryzen 3100X dan Ryzen 3300X hampir menyamai prestasi Ryzen 5 3600X.

Keadaan ini menunjukkan Intel perlu giat untuk merapatkan jurang apabila AMD kelihatan juara bagi seluruh segmen pemproses.

Menerusi penguji skala prestasi, 3D Mark TimeSpy menunjukkan markah umum bagi Ryzen 5 3600X merekodkan lebih 8,000 mata manakala dua pemproses baharu ini mencatatkan mata lebih 7,000, sekali gus ia pengguna mempunyai pilihan untuk set desktop yang mampu milik.

Bagi tujuan pengujian, penulis menggunakan set desktop papan induk ASUS ROG Crosshair VIII dengan cip X570 dengan padanan kad grafik ASUS ROG 5700XT bersama memori (RAM) 16GB 3200Mhz dan skrin paparan Acer Predator XB273UG S yang menyokong paparan 2K.

Hasilnya mengagumkan menerusi skala penarafan permainan bagi Tom Clancy's The Division 2 apabila dua pemproses baharu AMD mencatatkan bacaan bingkai sesaat yang hampir sama dengan Ryzen 5 3600X iaitu sekitar 110 bingkai sesaat (FPS) manakala Ryzen 3100X dan Ryzen 3300X kurang beberapa mata untuk resolusi 1080p dan 2K juga menunjukkan tiada perubahan FPS yang begitu drastik.

Bagaimanapun, menerusi permainan Metro Exodus, Ryzen 3600X mencatatkan rekod FPS 71 bagi resolusi 1080p manakala dua pemproses baharu berkenaan 70 FPS.

Resolusi 2K juga menunjukkan FPS yang sama untuk Ryzen 3300X dan Ryzen 5 3600X dan ia jelas menunjukkan keupayaan produk baharu AMD berkenaan yang dijual dengan tanda harga yang lebih mampu milik.

Dalam dua pengujian berkenaan, pastinya Ryzen 3300X adalah pilihan baharu untuk pengguna yang tidak mempunyai bajet terlalu tebal dan lebihan kewangan mereka mungkin boleh disalurkan kepada naik taraf kad grafik yang lebih baik atau papan induk kategori kelas premium.

Bagi pengguna yang masih tidak pasti berhubung sokongan papan induk, Ryzen 3100X dan Ryzen 3300X menyokong cip B450 bagi kategori permulaan sehingga kepada cip prestasi iaitu X570 yang digunakan penulis.

Ia adalah kejayaan besar buat AMD apabila mampu untuk menghasilkan pemproses berkeupayaan tinggi dengan tanda harga yang lebih mesra kepada pengguna dan semestinya, ia akan menjadi barang panas di pasaran terutama untuk kaki 'games' yang tidak mahu berbelanja besar.

Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 8:30pm
d