itmetro

Persis panggung wayang

Oleh Muhammad Saufi Hassan

MUNGKIN ramai penonton setia panggung wayang ketika ini terpaksa untuk melupakan hobi mereka buat seketika kerana operasi premis berkenaan terpaksa dihentikan buat sementara sepanjang penularan virus Covid-19.

Namun masih ada cara untuk melepaskan 'gian' suasana panggung wayang buat seisi keluarga berbekalkan projektor LCD yang menawarkan kualiti paparan definisi tinggi (HD) seolah-olah anda sedang melihat di kaca televisyen masing-masing.

Bagaimanapun, tidak semua tahu atau 'pakar' dalam revolusi perkakas berkenaan dan minggu ini penulis cuba menawarkan Epson EF-100W iaitu projektor LCD yang bukan saja mudah untuk dibawa ke mana saja, malah pemasangannya juga berdasarkan kepada 'pasang dan main' (plug n play).

Untuk pengetahuan umum, Epson EF-100W adalah projektor berasaskan kepada teknologi laser 3LCD dan ia paling kecil dalam kelasnya untuk memudahkan pengguna menyimpan atau membawa ke mana saja, malah ia ringan berbanding projektor lain.

Penulis tidak memerlukan masa lama untuk mengadaptasi teknologi berkenaan apabila kurang 10 minit, set projektor yang disambungkan kepada laptop menerusi sambungan HDMI boleh terus dimainkan dan bilik bacaan penulis bertukar menjadi mini panggung wayang.

Perkakas ini juga tidak mempunyai sambungan wayar berselirat kerana semuanya sudah lengkap di bahagian belakang dan pengguna hanya perlu membuka penutup pelindung dan melakukan sambungan sokongan HDMI kepada peranti asas atau input, menghidupkan bekalan kuasa dan terus boleh menonton filem kegemaran.

Untuk nilai tambahan, penulis menggunakan sambungan sistem pembesar suara generasi 'SoundBar' untuk memberikan elemen bunyi panoramik persis berada di panggung wayang, malah satu bonus buat pengguna jika mempunyai sistem bunyi yang menyokong Dolby Atmos.

Menyentuh aspek kualiti paparan yang dihasilkan, penulis memberikan gred A kepada projektor Epson ini kerana ia menawarkan kualiti Definisi Penuh (HD) dan imej yang terhasil tidak kelihatan 'pecah' atau 'distort' berbanding generasi lain.

Bunyi kipas penyejuk projektor juga tidak mengganggu kepada ia berfungsi di bawah 20dB dan pengguna pastinya tidak menyangka bahawa kipas penyejuk projektor berkenaan berpusing untuk melakukan tugasannya.

Penulis kagum dengan keupayaan lensa projektor ini yang mampu untuk memberikan ketajaman dalam penghasilan imej memandangkan kebanyakan projektor menghasilkan imej kabur dan pecah.

Untuk hasil terbaik, pengguna perlu memiliki bilik atau ruang tamu yang baik serta agak gelap supaya cahaya imej laser yang terhasil jelas dapat kelihatan dan satu markah bonus jika mempunyai set bunyi 7.1 yang menghasilkan bunyi panoramik.

Jika diberi keputusan akhir, penulis merasakan ia satu perkakas yang sangat baik terutama untuk keluarga besar yang gemar menghabiskan masa lapang di depan kaca televisyen tambahan pula pada waktu kini, penstriman filem mampu untuk menghilangkan bosan akibat tidak boleh melakukan aktiviti rutin.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 6:15am
d