itmetro

Waspada belian 'online'

Oleh Muhammad Saufi Hassan

MASYARAKAT hari ini sedang memahami normal baharu kehidupan pasca penularan wabak Covid-19 dan kebanyakan individu lebih selesa untuk membeli secara atas talian bagi mengurangkan risiko terdedah di tempat awam.

Situasi sama berlaku bagi masyarakat di negara ini apabila berlaku peningkatan yang agak drastik dalam pembelian di atas talian (online) menerusi laman dagang terkemuka termasuk pasar raya yang turut menawarkan perkhidmatan berkenaan.

Kerajaan juga sudah mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan diganti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang banyak memberi kelonggaran namun masih mengutamakan normalisasi kehidupan baharu dengan penjarakan sosial sesama sendiri.

Pastinya, pengguna akan lebih cenderung untuk memilih belian secara dalam talian dan dijangka 'trend' berkenaan akan terus berkembang sepanjang tahun ini sekali gus membuka ruang kepada keupayaan teknologi sedia ada.

Pihak kerajaan juga menggalakkan pengguna untuk meneruskan belian dalam talian kerana ia mampu untuk mengurangkan pendedahan kepada kawasan tumpuan terutamanya di pasar raya, pasar basah atau sebarang lokasi untuk membeli keperluan harian.

Namun, peningkatan trend berkenaan pastinya membuka sisi lain apabila wujud pihak tidak bertanggungjawab akan cuba memanipulasi peluang berkenaan dengan memperdayakan pengguna dengan pelbagai kaedah.

#ITMetro minggu ini memberikan beberapa tip penting kepada pengguna untuk menjadi pembeli bijak terutamanya ketika berurusan secara atas talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

1. Guna aplikasi e-dagang yang memberi perlindungan kepada pembeli

Ia adalah 'Golden Rules' untuk setiap pengguna yang mahu membeli sebarang produk, barangan atau apa saja secara atas talian.

Laman e-dagang yang sudah terkenal atau dikenali mempunyai polisi ketat dalam perlindungan hak pengguna dan sebarang kesilapan atau kerosakan barangan, pengguna boleh mengemukakan tuntutan dan mendapat gantian atau pengembalian wang.

Walaupun tidak dinafikan memang wujud penjual tidak bertanggungjawab namun mereka tidak akan mudah memperdayakan pelanggan.

Penulis sendiri mempunyai pengalaman apabila membeli satu jenama produk menerusi sebuah laman dagang namun tatkala produk berkenaan sampai di tangan, ia adalah jenama pendua dan bukannya asli.

Berikutan itu, penulis mengemukakan aduan kepada laman dagang terbabit dan mendapat semula pengembalian wang dan bukti produk berkenaan mengakibatkan akaun penjual itu dipadam dalam laman dagang terbabit.

2. Pembayaran atas talian menggunakan laman web selamat

Selain daripada menggunakan platform laman dagang dikenali, pengguna juga perlu memastikan setiap transaksi secara atas talian menggunakan laman web selamat yang sudah mempunyai perlindungan data sensitif pengguna.

Pengguna perlu memastikan bahawa setiap transaksi berkenaan menggunakan sambungan data terkod atau enkripsi yang digunakan seperti 'Secure Sockets Layaer (SSL) dan menggunakan laman web URL 'https'.

Secara asasnya, SSL menyulitkan data supaya maklumat berkenaan tidak dapat dibaca oleh pihak ketiga yang cuba untuk melakukan rakaman pemindahan data.

3.Baca reviu pembeli terdahulu berkenaan penjual

Pengguna mungkin sering terlepas pandang dengan perkara ini apabila hanya melihat kepada produk yang ingin dibeli tanpa melakukan sedikit kajian berhubung reviu pembeli terdahulu dengan penjual berkenaan.

Setiap pembeli semestinya mempunyai pengalaman mereka tersendiri dan mereka akan berkongsi pengalaman berurusan dengan penjual berkenaan.

Secara keseluruhannya, pengguna boleh membuat rangkuman berhubung maklum balas negatif atau positif sebelum membuat keputusan untuk membeli dengan penjual terbabit atau mencari penjual lain yang lebih meyakinkan.

Pembeli juga kebiasaannya lebih selesa dengan penjual yang menguruskan penghantaran barangan yang pantas dan ia memberi mata bonus buat penjual.

Bagaimanapun, jika pengguna menghadapi pengalaman buruk ketika berurusan dengan penjual atau tidak mendapat produk sepatutnya, kemukakan aduan menerusi laman dagang terbabit dan anda berhak untuk mendapat perlindungan sehingga kepada pengembalian wang.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 7:00am
d