itmetro

Uji integrasi sistem pesanan WhatsApp, Facebook, Instagram

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PENGENDALI gergasi laman sosial, Facebook kini sedang melakukan ujian percubaan integrasi tiga aplikasi iaitu WhatsApp, Facebook Messenger dan Instagram mengguna satu medium pesanan saja.

Perkara itu sudah diumumkan sejak awal tahun lalu dan kini pengendali laman sosial berkenaan sedang melakukan fasa ujian awal migrasi tiga platform berkenaan untuk satu sistem pesanan yang sama.

Integrasi itu akan membolehkan pengguna berhubung dengan kenalan menggunakan satu aplikasi pesanan saja tanpa perlu menggunakan Facebook Messenger, Instagram Direct atau WhatsApp.

Menerusi satu portal teknologi antarabangsa mendedahkan bahawa Facebook sedang melakukan ujian menerusi kod pembangunan aplikasi baharu pada ketiga-tiga jenis sistem pesanan terbabit.

Fasa ujian berkenaan akan memperlihatkan aspek kelicinan aplikasi pesanan berkenaan termasuk meningkatkan tahap keselamatan supaya tidak diceroboh pihak ketiga.

Pihak Facebook dijangka akan mengekalkan sokongan penyulitan penuh antara platform sekali gus memastikan pelbagai komunikasi kekal selamat tanpa diceroboh pihak ketiga.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Facebook akan mewujudkan satu aplikasi pesanan baharu atau menggunakan medium WhatsApp untuk melakukan integrasi dua platform miliknya.

Fasa ujian itu dijangka akan berlaku selama penghujung tahun ini dan pengguna mungkin boleh melihat fasa ujian akhir pertengahan tahun depan.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 2:19pm
d