itmetro

HP sasar buka 20 hab teknologi

HP Inc akan membuka 20 Hab Teknologi di kawasan komuniti terabai di Asia Tenggara menjelang akhir tahun ini bagi meningkatkan kemahiran 10,000 remaja.

Hab Teknologi HP ini akan dilengkapi dengan 15 hingga 20 komputer baharu selain sokongan perangkaian daripada syarikat itu.

Pembelajaran di dalam kelas dan secara dalam talian akan digunakan bagi menyampaikan kemahiran teknikal dan perisian supaya remaja lebih berdaya saing.

Latihan teknologi dan keusahawanan turut akan disediakan untuk pelajar berusia 13 tahun dan ke atas termasuk kemahiran Microsoft Office, pengekodan, komunikasi perniagaan, pembentukan minda cemerlang dan cara memulakan perniagaan kecil.

Naib Presiden dan Pengarah Urusan, Greater Asia, Ng Tian Chong berkata, HP mempunyai tanggungjawab bagi menyediakan remaja untuk menghadapi realiti baharu ini.

"Menerusi Hab Teknologi HP, kami melengkapkan remaja komuniti terabai ini dengan ilmu pengetahuan teknikal serta praktikal dan mengasarkan untuk memberi inspirasi kepada mereka untuk meluaskan lagi pandangan, menjadi kreatif dan berani mencuba perkara-perkara baru," katanya.

Enam Hab Teknologi sudah didirikan di Kuala Lumpur serta Lombok dan Jakarta, Indonesia.

Baki hab lain akan dibina di Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina menjelang akhir tahun ini.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 3:37pm
d