itmetro

MCMC minta pandangan awam rangka Identiti Digital Nasional

Oleh BERNAMA

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan proses rundingan awam untuk mengumpul pandangan dan perspektif orang ramai terhadap pembangunan rangka kerja Identiti Digital Nasional.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, maklum balas yang diterima akan dipertimbangkan dalam menilai dan menambah baik kertas cadangan mengenai Rangka Kerja Identiti Digital Nasional yang sesuai untuk Malaysia.

"Ia juga membantu mengukuhkan aspek strategi dan hala tuju bagi pelaksanaan Identiti Digital Nasional terutamanya dalam memastikan konsep, penggunaan serta manfaatnya kepada individu, pelbagai organisasi dan industri," demikian menurut kenyataan itu.

Identiti Digital Nasional adalah pengesahan identiti seseorang individu secara elektronik berdasarkan ciri-ciri biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah, iris dan maklumat demografik seperti nama dan tarikh lahir.

Adanya Identiti Digital Nasional, pengesahan identiti pengguna daripada sumber yang sahih membolehkan urusan perkhidmatan yang cepat, mudah, selamat, terlindung dan terjamin.

Selain itu Identiti Digital Nasional juga berpotensi mengelakkan berlakunya jenayah pemalsuan dan penipuan identiti secara dalam talian seperti yang telah dilaksanakan oleh Estonia, Emiriah Arab Bersatu dan United Kingdom dengan kesesuaian konteks negara masing-masing.

"Identiti Digital Nasional amat penting untuk membolehkan kesalinghubungan pelbagai sistem transaksi bagi memudahkan pengguna berurusan di mana sahaja pada bila-bila masa," kata MCMC.

Sehubungan itu, orang ramai diminta tampil untuk menyertai Rundingan Awam Rangka Kerja Identiti Digital Nasional. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi http://www.mcmc.gov.my yang tersedia sejak 24 Julai lalu hingga 7 Ogos.

Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 3:29pm
d