itmetro

Tindakan 'pramatang' AS

Oleh Muhammad Saufi Hassan

ADAKAH benar aplikasi TikTok mengancam keselamatan atau sekadar satu dakyah Amerika Syarikat (AS) yang begitu 'alergik' dengan teknologi yang dibawa oleh China atau sebarang firma gergasi yang mempunyai kaitan dengan salah satu negara kuasa besar berkenaan.

Itu yang berlaku awal minggu ini apabila Presiden AS, Donald Trump menyatakan akan menyekat aplikasi berkenaan di AS selain menyatakan bahawa aplikasi berkenaan mengancam tahap keselamatan.

Dalam satu laporan BBC menyatakan bahawa Trump akan mengambil langkah sekatan berkenaan tidak lama lagi apabila melihat aplikasi yang dibangunkan oleh firma berpangkalan di China itu berpotensi sebagai ancaman keselamatan baharu.

Laporan berkenaan juga menyatakan bahawa ancaman keselamatan itu membabitkan beberapa data sensitif antaranya corak pengenalan biometrik wajah, alamat pengguna, nombor telefon dan beberapa maklumat sensitif lain.

Walaupun sebahagian pakar menyatakan bahawa keputusan AS itu disifatkan sebagai 'pramatang' memandangkan tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa aplikasi terbabit mempunyai unsur ancaman keselamatan yang besar walaupun wujud kemungkinan itu.

Tindakan AS berkenaan memperlihatkan bahawa mereka sebenarnya alergik dengan suatu teknologi yang dibangunkan oleh mana-mana syarikat yang berpangkalan di China dan sebolehnya akan melakukan sekatan sebagai salah satu tekanan kepada pembangun atau pengeluar sesuatu produk.

TikTok adalah satu aplikasi hiburan yang kini sudah menjangkau 800 juta akaun pengguna dan antara platform sosial paling popular terutama dalam kalangan remaja.

Berdasarkan perspektif di negara ini, aplikasi berkenaan tidak lebih sebagai satu medium laman sosial dan TikTok turut mempunyai sisi positif apabila ramai penyedia kandungan kreatif menggunakan platform berkenaan untuk berkongsi bakat sama ada dalam aspek seni visual atau karya kreatif mereka.

Kebanyakan pengguna di negara yang memiliki akaun TikTok untuk ruangan berseronok serta tidak timbul isu keselamatan berkenaan kerana medium terbabit sama seperti mana-mana perkhidmatan laman sosial yang lain.

Satu portal teknologi terkemuka menyatakan bahawa aplikasi berkenaan tidak mempunyai unsur ancaman keselamatan seperti yang didakwa dan pembangunnya, ByteDance menghormati setiap data simpanan pengguna.

Jika AS mengambil tindakan menyekat aplikasi berkenaan, ia adalah tindakan paling drastik pernah dilakukan oleh negara kuasa Veto berkenaan dan wujud juga dakwaan ia adalah tekanan kepada pembangun aplikasi terbabit untuk menjual pegangan saham mereka kepada syarikat ketiga.

Microsoft sudah mengesahkan bahawa syarikat berkenaan sedang dalam perbincangan untuk membeli aplikasi berkenaan daripada pembangunnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella berkata, pihaknya berminat untuk membeli platform media sosial berkenaan dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada Presiden (Trump) untuk perhatian lanjut.

"Microsoft komited untuk melakukan perolehan terhadap TikTok dan perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepada pihak pentadbiran kerajaan AS untuk pertimbangan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Microsoft tidak memperincikan bentuk perbincangan yang sedang dilaksanakan dan adakah sistem pelayan TikTok akan berpindah ke mana-mana negara Eropah bagi menjelaskan isu 'keselamatan' yang timbul kebelakangan ini.

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 7:00am
d