itmetro

Klipsch T5 II McLaren lancar fon telinga prestasi tinggi

Oleh Muhammad Saufi Hassan

KOMBINASI antara pemain industri automotif dan jenama teknologi sering memberi kesan mendalam terhadap penghasilan produk berprestasi tinggi.

Kali ini giliran McLaren melancarkan produk keluaran terhad untuk fon telinga tanpa wayar iaitu Klipsh T5 II True Wireless Sport McLaren.

Jenama Klipsch bukan asing untuk industri teknologi berprestasi tinggi dan kali ini jenama berkenaan menjadi rakan kongsi rasmi untuk Pasukan F1 McLaren termasuk membekalkan alatan fon kepala untuk keseluruhan pasukan itu.

Sesuai dengan produk berprestasi tinggi, fon telinga tanpa wayar ini diperakui mendapat pengiktirafan IP67 bagi produk tahan air termasuk menyokong pengecasan USB-C.

Fon telinga keluaran bersama Klipsch dan McLaren ini didatangkan dengan empat mikrofon untuk panggilan telefon termasuk antena pengesanan isyarat berfrekuensi tinggi untuk kestabilan sambungan.

Bagi jangka hayat bateri pula, fon telinga berkenaan mampu beroperasi sehingga 32 jam dengan kepenggunaan optimum termasuk pad pengecas bagi peranti berkenaan.

Pengguna boleh melakukan talaan prestasi untuk Klipsch T5 II menerusi aplikasi di telefon pintar dan ia termasuk pengubahsuaian sistem audio.

Pengguna boleh melakukan pra tempahan untuk fon telinga berkenaan dengan tanda harga RM1,199.

Disiarkan pada: August 22, 2020 @ 10:51pm
d