itmetro

Kad grafik kelas premium

Oleh Muhammad Saufi Hassan

DUNIA permainan serta animasi sebenarnya sering berkait antara satu sama lain dan kemajuan dalam kedua-dua segmen berkenaan juga seiring pembaharuan sistem perkakasa baharu saban tahun.

Kali ini, evolusi unit pemproses grafik atau 'GPU' bakal berlaku lagi apabila pencipta perkakas berkenaan iaitu syarikat gergasi Nvidia bakal mengumumkan sesuatu yang besar pada ulang tahun sambutan syarikat itu hujung bulan ini.

Unit pemproses grafik atau GPU ini tidak hanya penting untuk segmen permainan video sebaliknya ia turut digunakan untuk proses sintesis imej, video serta pembikinan animasi bertaraf AAA kerana sebuah unit GPU mempunyai keupayaan berbeza dengan generasi terdahulu.

Nvidia dijangka mengumumkan segmen baharu untuk GPU iaitu kemunculan generasi RTX 'Ampere' yang menggunakan rekaan memori GDDR6X, sekali gus menawarkan kuasa pemproses video yang lebih baik berbanding siri sebelumnya.

Walaupun tidak banyak maklumat yang tertiris berhubung apa sebenarnya yang bakal berlaku hujung bulan ini, namun kebanyakan pemerhati industri menjangkakan bahawa Nvidia akan mengumumkan barisan produk baharu mereka kerana ia bertepatan dengan garis masa.

Siri RTX 2000 diperkenalkan lewat 2018 dan mula memasuki pasaran awal tahun lalu dan selepas setahun berada di pasaran pastinya Nvidia mahu memperkenalkan barisan produk berprestasi tinggi, sekali gus mengukuhkan pegangan pasaran mereka untuk segmen berkenaan.

Kad grafik generasi baharu ini atau bakal dikenali sebagai RTX siri 3000 berkenaan akan menggunakan kuasa pemproses grafik yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya.

Berdasarkan laporan sebuah portal teknologi terkenal, model kelas premium untuk RTX Ampere dikenali sebagai RTX 3090 menggunakan kod rekaan GPU GA102-300-A1 yang mengandungi teras pemproses CUDA sebanyak 5,248 iaitu peningkatan 20 peratus daripada RTX 2080 Ti untuk generasi sebelumnya.

Namun, masih tidak didedahkan talaan kelajuan (clock speed) untuk RTX 3090 ini dan dijangka ia menawarkan prestasi lebih 60 peratus berbanding kelas premium generasi terdahulu iaitu RTX 2080 Ti.

Siri RTX 3090 ini akan menawarkan jumlah kapasiti memori paling besar iaitu 24GB dengan rekaan GDDR6X dengan 384-bit, sekali gus mempunyai keupayaan pemproses 1TB 'bandwidth'.

RTX siri 2000 memperkenalkan teknologi pemproses grafik 'Ray Tracing' dan jika melihat kepada pasaran sedia ada, tidak banyak lagi judul permainan yang menawarkan keupayaan teknologi berkenaan.

Berdasarkan amalan Nvidia terdahulu, RTX 3090 akan mempunyai versi kelas tinggi iaitu daripada generasi 'Super' atau 'Ti' dan mereka akan memperkenalkan beberapa model lain bermula RTX 3060, RTX 3070, RTX 3080 dan RTX 3090 untuk kelas premium.

Disiarkan pada: August 25, 2020 @ 7:00am
d