itmetro

Kesan grafik ultra

Oleh Muhammad Saufi Hassan

AWAL bulan lalu, pembangun permainan Horizon Zero Dawn, Guerilla Games sudah melancarkan judul berkenaan untuk platform desktop yang sebelum ini hanya boleh dimainkan menerusi konsol.

Pastinya, pelancaran permainan berkenaan dinantikan penggemar sukan elektronik dan kesan grafik Horizon Zero Dawn (HZD) nyata memberangsangkan terutama jika dipadankan dengan kad grafik keluaran Advanced Micro Devices (AMD).

Penulis melakukan ujian cubaan permainan berkenaan bersama unit pemproses grafik (GPU) keluaran Gigabyte edisi AORUS RX 5700 XT dan secara keseluruhannya, ia amat mengagumkan apabila untuk genre permainan dunia terbuka mampu mencatatkan bacaan lebih 80 Kadar Segar Semula (FPS) bersama tetapan kesan grafik ultra bersama resolusi 2K.

Bagi tujuan ujian, penulis sengaja menggunakan pemproses Ryzen 5 3600 sebagai pemproses kelas pertengahan yang dipadankan bersama Gigabyte AORUS RX 5700 XT dan melancarkan permainan berkenaan untuk DirectX 12 bagi talaan kesan lebih baik.

Pengubahsuaian kesan grafik ditetapkan pada kadar ultra (ultra setting) manakala penulis menggunakan skrin paparan resolusi 2K untuk kesan lebih terperinci manakala pengalaman permainan lebih baik.

Untuk sukatan suhu kad grafik pada tahap keadaan bilik, AORUS RX 5700 XT mencatatkan bacaan pegun (idle) pada tahap 41 darjah Celsius manakala untuk keupayaan penuh (full load) sekitar 66 darjah celcius manakala untuk bilik berpenghawa dingin, suhu pegun pada 36 darjah celcius manakala untuk keupayaan penuh 61 darjah celsius.

AORUS RX 5700 XT ini dilengkapi kefungsian tiga kipas untuk tujuan penyejukan dan ia dilengkapi dengan panel pelindung belakang (backplate) termasuk penyeragaman lampu RGB menerusi perisian dalam komputer.

Tidak hairan bahawa kad grafik premium keluaran Gigabyte ini mempunyai reputasi yang sangat baik kerana memiliki sistem penyejukan serta putaran kipas optimum untuk menentukan suhu unit pada tahap optimum.

Menyentuh permainan berkenaan, mekanik HZD adalah mudah difahami dan pemain boleh membuka kekunci kemahiran dengan peningkatan tahap (level) dan wujud misi utama, misi sampingan serta misi bonus untuk memperoleh ganjaran.

Walaupun permainan berkenaan masih menghadapi beberapa masalah 'bug', namun ia satu judul yang sangat baik dan pembangun HZD juga sudah berjanji untuk melakukan optimasi dalam kandungan, sekali gus membawakan kesan grafik lebih baik selepas ini.

Maka tidak hairan sesetengah pembangun permainan lebih gemar membuat kolaborasi pembinaan permainan dengan AMD memandangkan kesan grafik yang dijana cip Navi tampak lebih meyakinkan dan memberi prestasi FPS yang sangat baik.

Disiarkan pada: September 1, 2020 @ 6:20am
d