itmetro

Selesa skrin luas

Oleh Muhammad Saufi Hassan

SYARIKAT gergasi elektronik, Samsung minggu lalu sudah melancarkan telefon pintar perdana mereka iaitu Galaxy Note20 yang didatangkan bersama tiga variasi iaitu Note20, Note20 5G dan Note20 Ultra 5G yang membezakan daripada aspek spesifikasi dan rekaan luaran.

Seperti generasi terdahulu, Samsung mengekalkan penggunaan pen pintar dikenali 'S Pen', malah untuk Note20 ini, syarikat berkenaan sudah mempertingkatkan keupayaan 'stylus' supaya lebih persis dan mengurangkan kelengahan memandangkan ia bakal menjadi pemangkin revolusi telefon pintar.

Menyentuh aspek spesifikasi Samsung Note20 5G, peranti berkenaan dikuasakan dengan pemproses Exynos 990 rekaan pemproses 7nm yang mempunyai binaan cip jaringan 5G terbina dan ia dipadankan bersama keupayaan memori (RAM) 8GB bersama binaan LPDDR5, sekali gus mengatasi masalah kelengahan dalam sebarang pelancaran aplikasi.

Skrin Samsung Note20 5G berkeluasan 6.7 inci dengan 2,400 x 1,080 piksel manakala paparan menggunakan teknologi Super AMOLED Plus dengan nisbah paparan kepada peranti lebih 89 peratus, sekali gus menjadi peranti yang memiliki skrin luas untuk keselesaan pengguna.

Peranti baharu Samsung ini memiliki jumlah storan 128GB dan 256GB bersama sistem UFS 3.0 serta didatangkan dengan unit pemproses grafik (GPU) Mali-G77 MP11.

GPU berkenaan sesuai untuk sebarang permainan mudah alih, malah memberi keupayaan maksimum kepada penggemar permainan mudah alih.

Samsung Note20 5G mempunyai tetapan tiga lensa untuk kamera utama iaitu lensa 12MP untuk sudut lebar, lensa 64MP untuk telefoto dan 12MP bagi sensor sudut ultra lebar.

Tetapan tiga lensa ini mampu untuk merakam gambar lebih jelas dalam sebarang pencahayaan termasuk merakam video resolusi 8K dengan tetapan 24 kadar segar semula (FPS), resolusi 4K pada kadar 30 atau 60FPS, 1080p (30/60/240FPS), 720p (960FPS) dan dilengkapi teknologi HDR10+ bersama sensor gyro-EIS dan OIS.

Ciri khusus lain pula, Samsung mengekalkan sistem keselamatan pengimbasan biometrik cap jari dengan teknologi ultrasonik untuk membolehkan pengguna membuka kunci telefon dengan kadar sangat pantas dan ia didatangkan dengan kapasiti bateri 4,300mAh.

Peranti ini menyokong sistem pengecasan pantas 25W dan pengecasan tanpa wayar pada kadar 15W termasuk pengecasan berbalik 4.5W.

Penulis yang menggunakan peranti ini kagum dengan padanan spesifikasi termasuk penambahbaikan S Pen yang dilakukan Samsung, sekali gus mempertingkatkan tahap kejituan pen pintar berkenaan, sekali gus mudah untuk digunakan bagi golongan profesional.

Bagi keupayaan kamera pula, Samsung seperti sebelum ini tidak pernah gagal penampilkan satu peranti dengan tetapan lensa yang hebat dan Note20 5G membuktikan apabila ia mampu untuk merakam sebarang keadaan pencahayaan termasuk di kawasan gelap.

Hasil gambar yang terhasil sangat mengagumkan dan tidak hairan peranti ini bakal mendominasi segmen peranti arus perdana tidak lama lagi.

Penulis gembira dengan rekaan fizikal peranti berkenaan yang premium di samping beberapa padanan warna yang menyerlahkan tahap elegan pemakai peranti terbabit.

Disiarkan pada: September 1, 2020 @ 6:45am
d