itmetro

AMD bakal umum 'gula-gula' baharu Oktober ini

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Bulan depan bakal menjadi tempoh paling penting bagi syarikat pengeluar pemproses paling berjaya, Advanced Micro Devices (AMD) apabila dijadualkan akan mengumumkan dua segmen produk keluarannya iaitu Ryzen 4000 dan RX 6000.

Ia akan dimulakan pada 9 Oktober depan apabila AMD akan mengumumkan segmen pemproses terbaharu keluarannya sekali gus menaik taraf siri sedia ada di pasaran.

Khabar angin juga menyatakan bahawa AMD akan melancarkan pemproses berasaskan rekaan binaan 'Zen 3' untuk desktop dengan kod produk AMD Ryzen Siri 4000.

Pada 29 Oktober pula, AMD akan melakukan satu lagi pengumuman penting iaitu membabitkan unit pemproses grafik (GPU) siri RX 6000.

Unit pemproses grafik berkenaan akan berasaskan kepada rekaan RDNA 2 dengan kod nama 'Vermeer' dan dijangka akan cuba menyaingi prestasi GPU keluaran Nvidia iaitu siri RTX 3000.

Ramalan awal menyatakan bahawa AMD akan memperkenalkan pemproses dengan kuantiti maksimum 16 teras bersama 32 Threads dengan keupayaan talaan lebih baik berbanding siri sebelumnya.

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 1:58pm
d