itmetro

Kejelasan bunyi sangat optimum

Oleh Muhammad Saufi Hassan

SISTEM bunyi di rumah yang menggunakan satelit 'speaker' mungkin memerlukan ruang yang luas di samping kaedah pendawaian yang rumit untuk kekal kelihatan kemas di samping prestasi bunyi yang mengagumkan.

Pengguna hari ini lebih cenderung untuk memilih bar pembesar bunyi kerana ia bukan saja mudah sebaliknya menawarkan kuasa prestasi yang sama dengan sistem bunyi konvensional.

Untuk itu, jenama premium bagi kelas bunyi iaitu Sonos menampilkan produk baharu keluaran mereka iaitu 'Sonos Arc' yang bukan saja sesuai untuk pengalaman menonton filem yang lebih baik sebaliknya sesuai untuk muzik dan permainan.

Bar bunyi berkenaan menampilkan teknologi sistem Dolby Atmos dan pengguna boleh melakukan pengubahsuaian menerusi aplikasi kawalan jauh yang boleh dipasang di telefon pintar, arahan automasi suara dan Apple AirPlay 2.

Sonos Arc mempunyai empat pembesar subwoofer yang diletakkan di bahagian kiri dan kanan serta dilengkapi lapan pembesar bunyi terbina yang mampu untuk mengubah pengalaman pengguna.

Dua peredam bunyi woofer berkenaan diletakkan di hujung kiri dan kanan untuk memberikan kadar kejelasan yang tinggi kepada pengguna di samping teknologi Dolby Atmos yang memberikan penyeragaman bunyi lebih baik berbanding biasa.

Penulis kagum dengan rekaan Sonos Arc yang bukan saja menawarkan sistem bunyi mengagumkan untuk semua genre sebaliknya padanan set pembesar bunyi satelit pada bar berkenaan memiliki kejelasan bunyi yang sangat optimum berbanding jenama lain.

Ia juga adalah sistem bunyi pintar apabila automasi suara boleh dilakukan memandangkan ia terbina untuk Google Assistant dan Amazon Alexa, sekali gus memberi set pintar untuk rumah pengguna.

Sesiapa saja boleh memasang bar bunyi ini memandangkan Sonos menampilkan konsep 'Pasang dan Main' dengan mudah tanpa perlu konfigurasi yang memeningkan kepala sehingga perlu meneliti setiap buku manual perkakasan berkenaan.

Rekaannya juga adalah sangat minimal apabila bar berkenaan boleh dimuatkan dalam rak televisyen pengguna tanpa memerlukan ruang yang banyak dan mudah disesuaikan dengan setiap rekaan ruang tamu.

Penulis bukan peminat sistem bunyi namun tidak dinafikan pengalaman pertama penulis menonton filem aksi menggunakan bar bunyi ini adalah sangat baik malah memberi pengalaman mengagumkan.

Bayangkan bunyi tembakan, bom atau deruman jet pejuang mampu dirasai pengguna seolah-olah bunyi berkenaan berada di sebelah dan aturan sistem bar bunyi Sonos ini juga sangat mudah.

Tidak keterlaluan rasanya jika penulis memberi markah penuh untuk Sonos Arc ini kerana memberikan satu pengalaman luar biasa malah kadar kejelasan bunyi yang sangat optimum.

Jika dibandingkan dengan bar bunyi jenama lain, ia hanya menampilkan sistem woofer yang kuat dan menenggelamkan kejelasan bunyi seperti suara atau perbualan karakter dalam filem.

Sonos Arc membuktikan bahawa kejuruteraan terperinci dalam sistem bunyi mampu untuk mengimbangi keupayaan woofer serta kejelasan bunyi dengan sangat baik.

Disiarkan pada: September 15, 2020 @ 6:35am
d