itmetro

Telefon 'budak sekolah'

Oleh Muhammad Saufi Hassan

TELEFON pintar pada hari ini sudah menjadi perkakas wajib dan bukan lagi satu barangan aksesori seperti beberapa dekad lalu memandangkan kebanyakan tugasan produktiviti harian juga boleh diakses menerusi peranti berkenaan.

Ia juga membabitkan semua peringkat pengguna termasuk pelajar yang memerlukan peranti pintar untuk ketersalinghubungan antara rakan.

Tambahan pula, golongan pelajar pada hari ini sudah mempunyai kumpulan 'WhatsApp' yang bukan saja terdiri daripada rakan sekelas sebaliknya turut membabitkan guru untuk tugasan serta topik yang bakal dibincangkan untuk sesi pembelajaran berikutnya.

Untuk itu, tidak semua golongan pelajar mampu memiliki peranti pintar yang berharga ribuan ringgit dan Huawei Y6p adalah jawapannya memandangkan tanda harga peranti pintar itu dibawah RM500 untuk pasaran hari ini.

Bagi pelajar yang tidak banyak bergantung kepada aplikasi berat sebaliknya kefungsian untuk kekal berhubung, Huawei menawarkan peranti mampu milik ini untuk semua lapisan masyarakat.

Huawei Y6p dikelaskan sebagai peranti kelas permulaan yang mula memasuki pasaran pada Mei lalu dengan penawaran spesifikasi yang baik.

Menyentuh aspek spesifikasinya, Huawei Y6p menggunakan pemproses MediaTek MT6762E Helio P22 dengan rekaan 12nm yang dipadankan bersama keupayaan memori (RAM) bermula 3GB hingga 4GB mengikut variasi pilihan pengguna.

Skrin untuk peranti ini berkeluasan 6.3 inci dengan nisbah paparan ke bentuk fizikal kira-kira 81 peratus dan menggunakan teknologi IPS LCD sesentuh.

Peranti ini didatangkan dengan slot kad sim tunggal manakala sistem operasi berasaskan kepada Android 10 dengan pemuka EMUI 10.1 serta pilihan storan antara 32GB hingga 64GB.

Biarpun ia peranti kelas permulaan, namun tetapan tiga lensa tetap mengagumkan dengan lensa utama berkeupayaan 13MP sudut lebar, 5MP sudut ultra lebar dan 2MP untuk sensor kedalaman.

Ia didatangkan dengan kapasiti bateri 5,000mAh dengan pengecas 10W termasuk keupayaan untuk pengecasan berbalik.

Melihat kepada aspek kepenggunaan, ia satu peranti pintar yang bagus walaupun memiliki tanda harga yang rendah dan kefungsiannya sesuai untuk golongan pelajar yang mungkin tidak mahu membeli peranti bernilai ribuan ringgit.

Rekaan fizikalnya juga tidak menunjukkan bahawa ia peranti kelas permulaan sebaliknya penulis merasakan ia lebih kepada peranti permulaan tinggi atau kelas pertengahan.

Pelancaran aplikasi seperti WhatsApp, Telegram dan aplikasi sosial lain juga tidak menghadapi masalah malah peranti ini berkeupayaan untuk kepelbagaian tugas dalam satu masa.

Secara keseluruhannya, ia satu peranti yang baik terutamanya untuk kelas permulaan dan pengguna pasti tidak menyangka keupayaannya hampir sama dengan peranti kelas pertengahan.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 6:44am
d