itmetro

Permainan cabar diri

Oleh Muhammad Saufi Hassan

TIDAK ramai pemain atau peminat permainan video yang gemar kepada konsep Strategi Waktu Nyata (Real-Time Strategy) atau 'Real-Time Tactics' memandangkan ia menguji taktik untuk menyelesaikan sesuatu misi.

Minggu ini, #ITMetro ingin mencadangkan kepada pemain yang suka mencabar diri untuk bermain judul Desperados III yang dilancarkan pada 16 Jun lalu oleh Mimimi Games dan diterbitkan THQ Nordic.

Jika pemain masih mengingatinya, sekuel judul ini pernah dilancarkan pada 2001 dengan judul Desperados: Wanted Dead or Alive diikuti dengan Helldorado dan terbaru Desperados III.

Untuk sekuel terbaru ini, Mimimi Games masih mengekalkan watak utama iaitu John Cooper selaku 'Bounty Hunter' yang dibantu oleh empat rakannya yang lain dan pemain boleh mengawal pasukan Cooper mengikut kesesuaian misi.

Uniknya untuk genre permainan ini, pemain boleh menyelesaikan misi mengikut taktik pilihan sendiri dan genre jenis ini masih mengekalkan konsep permainan 'stealth'.

Setiap ahli pasukan Cooper juga memiliki kemahiran tersendiri seperti penembak tepat, balingan pisau dan beberapa kemahiran lain yang perlu digunakan untuk menjayakan sesebuah misi.

Genre permainan jenis ini memang mencabar pemain terutamanya jika memilih mod kesukaran paling tinggi iaitu 'Hard' memandangkan watak NPC (karektor tidak boleh dikawal) akan lebih peka dengan bunyi bising termasuk serangan mereka lebih bahaya.

Setiap pembunuhan NPC musuh perlu disorokkan untuk mengelakkan NPC lain menyedari dan akan membunyikan loceng keselamatan sekali gus akan menambah kesukaran untuk menamatkan sesuatu misi.

Menyentuh aspek permainan, pemain boleh mengawal lima watak iaitu John Cooper, Hector Mendoza, Doc McCoy, Isabelle Moreau dan Kate O'Hara yang memiliki kemahiran berbeza serta set senjata unik.

Untuk sekuel terbaharu ini, corak penceritaan akan bermula dengan persoalan apabila John Cooper memburu pembunuh bapanya dan pemain akan dibawa kepada misi penjejakan musuh dikenali 'Frank'.

Secara keseluruhannya, ia satu permainan yang sangat unik dan mod penceritaan disifatkan sebagai 'hidup' apabila banyak percakapan membabitkan NPC sepanjang misi.

Kesan grafik pula amat mengagumkan dan ia satu judul permainan yang sangat baik untuk pemain yang gemar kepada konsep serta cabaran permainan berbeza dengan kebiasaan.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 6:46am
d