itmetro

Iinteraktif adab Islam

Oleh Muhammad Saufi Hassan

KEMAJUAN teknologi hari ini memboleh hampir semua bentuk pembelajaran, penerangan dan maklumat boleh diakses menerusi kaedah lebih interaktif serta tidak memerlukan cara konvensional untuk membuka helaian teks kertas.

Bukan saja untuk bidang teknologi, malah dunia pembelajaran secara keseluruhannya sudah mengalami evolusi dengan pengenalan kepada aplikasi pintar, 'Realiti Terimbuh' (Augmented Reality) dan pelbagai lagi kemodenan sesuai dengan keupayaan teknologi masa kini.

Tidak terkecuali untuk pembelajaran berkaitan agama Islam turut melalui revolusi sesuai dengan zaman dan kini pelajar atau masyarakat awam boleh mengakses maklumat dengan kaedah interaktif.

Terkini, 10 penyelidik daripada Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menghasilkan aplikasi dikenali 'My Shakhsiyyah AR' yang menjelaskan akhlak Islam.

Kumpulan penyelidik itu yang diketuai Dr Mohd Hasrul Shuhari yang turut dibantu Prof Madya Dr Roslan Umar, Dr Suhailan Safei, Prof Madya Dr Mustafa Man dan beberapa penyelidik lain merubah bentuk pembelajaran agama kepada aplikasi interaktif.

Mohd Hasrul berkata, nama My Shakhsiyyah AR itu bermaksud 'Sahsiahku' dan ia berkaitan dengan akhlak serta sifat mulia yang perlu dimiliki seseorang Muslim.

"Ini adalah hasil daripada penyelidikan mengenai pengalaman akhlak empat tokoh Islam iaitu Imam al-Shafie, Imam Ibn Sina, Imam al-Ghazali dan Sultan Muhammad al-Fateh.

"Aplikasi yang dibangunkan ini mengandungi penanda yang mana apabila diimbas ia akan memaparkan pada skrin telefon pintar antaranya video bacaan al-Quran, animasi rehal yang mengandungi ayat al-Quran dan pilihan pembaca al-Quran berkenaan ayat mengenai akhlak.

"Ia juga mengandungi video animasi berkenaan adab antaranya adab dengan guru, ibu bapa, ketika tidur dan lain-lain. Aplikasi AR ini juga digabungkan dengan dua aplikasi yang lain iaitu My Shakhsiyyah Game dan My Shakhsiyyah Speaking Dictionary.

"My Shakhsiyyah Game adalah aplikasi permainan yang diadaptasi daripada game Super Mario. Ia dibangunkan dengan menggunakan perisian pengarangan multimedia seperti Adobe Flash, Adobe Photoshop dan beberapa perisian lain," katanya.

Beliau berkata, elemen multimedia seperti animasi, grafik, audio dan teks juga digunakan.

Katanya, selepas diimbas pada penanda, pengguna boleh bermain permainan menerusi telefon pintar dan komputer.

Menurutnya, permainan ini memerlukan kawalan daripada pengguna untuk mengendalikan watak di atas platform sedia ada.

"Watak perlu mengharungi beberapa rintangan dan soalan berkaitan sifat mahmudah berdasarkan pandangan Imam al-Ghazali perlu dijawab untuk menamatkan permainan ini dengan berjaya.

"Bagi aplikasi My Shakhsiyyah Speaking Dictionary adalah teknologi pengecaman suara yang boleh mengesan suara pengguna.

"Apabila penanda AR diimbas, ia akan membawa pengguna ke pautan khas. Pautan berkenaan menyediakan kemudahan kepada penguna untuk mencari istilah dalam pengajian Islam seperti istilah dalam bidang akidah, syariah, akhlak, ilmu kalam, mantik dan lain-lain," katanya.

Mohd Hasrul berkata, contohnya apabila sesuatu istilah dalam bidang akhlak disebut padanya, ia akan memaparkan definisinya secara bersuara dan bertulis.

Katanya, pembangunan aplikasi ini bermula pada Mei tahun lalu serta siap pada peringkat pertama pada Julai tahun lalu dan memenangi anugerah perak dalam pertandingan inovasi di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada bulan sama.

Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 6:40am
d