itmetro

Peranti paling 'trendy'

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PENGGUNA hari ini lebih cenderung untuk memiliki ekosistem kehidupan berasaskan kepada peranti pintar bermula daripada telefon bimbit sehingga kepada 'jurulatih maya' seperti jam pintar.

Aktiviti riadah sama ada dilakukan dalam rumah atau di luar juga dibantu semua ekosistem berkenaan dan ia secara tidak langsung memperkenalkan gaya hidup sihat dalam masyarakat.

Padanan peranti pintar penting terutama untuk peranti boleh pakai dan Huawei meneruskan kecemerlangan berkenaan menerusi penawaran yang pelbagai untuk setiap peringkat produk.

Kali ini, siri Huawei Watch Fit memberikan kefungsian luar biasa dan produk terbaharu keluaran Huawei ini turut menawarkan gaya hidup moden.

Menyentuh aspek spesifikasi, siri Watch Fit yang menawarkan jangka hayat bateri sehingga 10 hari dan peranti boleh pakai ini adalah gabungan daripada keperluan pengguna yang aktif di samping kekal mengutamakan gaya 'trendy' semasa.

Huawei Watch Fit mempunyai skrin empat segi tepat secara memanjang dengan keluasan 1.64 inci bersama paparan berteknologi AMOLED.

Rekaan skrinnya adalah melengkung di bahagian empat sisi dan Huawei memberi jaminan bahawa peranti boleh pakai berkenaan dibina menerusi bahan 'Polymer Fiber' yang tahan lasak.

Peranti berkenaan didatangkan dengan sistem operasi milik Huawei sendiri iaitu Lite OS dan mempunyai beberapa ciri khusus untuk pengguna aktif.

Sesuai dengan peranti jam pintar, pemuka Huawei Watch Fit boleh ditetapkan oleh pengguna mengikut keselesaan dan ia dilengkapi sensor Sistem Pengesanan Global (GPS) serta bacaan Sp2 dan sensor bacaan kadar degupan jantung.

Peranti itu juga boleh memantau tahap tidur pemakainya dan melakukan analisis data termasuk membuat kawalan muzik dan kawalan jauh untuk perakam kamera.

Paling mengagumkan adalah jangka hayat bateri Huawei Watch Fit yang mampu bertahan 10 hari tanpa pengecasan dan tujuh hari kekal bertahan untuk penggunaan optimum.

Jangka hayat bateri yang panjang berkenaan sememangnya direka untuk individu lasak yang gemar melakukan aktiviti di dalam hutan tanpa perlu memikirkan untuk mengecas peranti.

Huawei menawarkan peranti berkenaan dalam warna Graphite Black, Sakura Pink dan Mint Green.

Pengguna juga boleh melakukan aktiviti riadah dengan padanan satu lagi peranti iaitu Huawei FreeLace Pro yang mempunyai tanda harga mampu milik di pasaran.

Peranti ini dilengkapi bateri 150mAh serta mempunyai berat 34 gram saja dan pastinya tidak mengganggu pengguna untuk melakukan sebarang aktiviti.

Padanan ini membolehkan pengguna mendengar muzik kegemaran di samping melakukan aktiviti riadah dalam masa sama.

Secara keseluruhannya, kedua-dua peranti baharu keluaran Huawei ini adalah peranti wajib beli untuk semua lapisan pengguna sama ada yang gemar dengan gaya hidup sihat ataupun individu yang mahu kelihatan trendy.

Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 6:43am
d