itmetro

Jam pintar menawan

Oleh Muhammad Saufi Hassan

ELEGAN, bergaya, 'trendy' dan berteknologi. Itu adalah empat rangkai kata yang paling sesuai untuk menggambarkan peranti boleh pakai terbaharu keluaran Samsung.

Untuk peranti Samsung Galaxy Watch 3, ia menampilkan keempat-empat elemen berkenaan, malah sangat sesuai untuk semua lapisan umur serta keadaan pemakai.

Sesuai dengan kemajuan teknologi masa kini, setiap individu mahu ketersambungan yang lebih maksimum dan ia tidak hanya tertumpu kepada peranti mudah alih sebaliknya setiap peranti boleh pakai.

Pengguna pula lebih memilih peranti boleh pakai yang mampu disesuaikan dengan segenap keadaan daripada aktiviti riadah sehingga kepada majlis formal yang memerlukan seseorang itu memakai sut.

Menyentuh aspek spesifikasinya, peranti boleh pakai berkenaan didatangkan dengan dua saiz pemuka iaitu 41mm dan 45mm mengikut kesesuaian pilihan pengguna.

Bagi pemuka 45mm, ia didatangkan dengan dua warna iaitu 'Mystic Black' dan 'Mystic Silver' manakala untuk pemuka 41mm, warna ditawarkan adalah 'Mystic Bronze' serta 'Mystic Silver' khusus untuk variasi sambungan LTE dan Bluetooth.

Paparan untuk pemuka 45mm adalah 1.4 inci dengan skrin bulatan Super AMOLED manakala pemuka 41mm saiz keluasan adalah 1.2 inci dengan sokongan skrin 'Corning Gorilla Glass DX'.

Kapasiti bateri pula adalah 340mAh (45mm) serta 247mAh (41mm) dan dikuasakan dengan pemproses Exynos 9110 dengan talaan prestasi 1.15GHz.

Seperti peranti generasi terdahulu, sistem operasi Galaxy Watch 3 adalah Tizen OS 5.5 serta dilengkapi kapasiti memori (RAM) 1GB dan 8GB storan terbina.

Berdasarkan aspek kepenggunaan, Galaxy Watch 3 dilengkapi pelbagai mod bersukan dan pemakai boleh memilih daripada berlari, berbasikal dan sebagainya sesuai untuk gaya hidup aktif.

Bateri jam pintar ini juga mampu bertahan lebih seharian walaupun menggunakan secara optimum sesuai dengan cara hidup aktif pemakainya.

Galaxy Watch 3 menyokong beberapa kawalan gestur baharu seperti menjawab panggilan telefon yang disambungkan kepada peranti. Fungsi-fungsi ditemui dalam aplikasi Galaxy Wearable yang baharu dikemas kini.

Gestur tangan umpamanya adalah pengguna boleh menjawab panggilan telefon dengan menggenggam tangan.

Panggilan juga boleh dibisukan dengan memutarkan pergelangan tangan. Akhir sekali kamera boleh diarahkan untuk mengambil gambar dengan menggenggam dan membuka tangan.

Secara keseluruhannya, penulis melihat Galaxy Watch 3 adalah peranti boleh pakai yang sangat baik terutama jika melihat kepada aspek aplikasi sokongan yang boleh digunakan untuk Android ataupun iOS.

Namun, jika pemakai mahu menggunakan sepenuhnya keupayaan jam itu, disarankan menggunakan sistem operasi Android untuk lebih kebebasan.

Disiarkan pada: November 10, 2020 @ 6:26am
d