itmetro

Had akses internet anak

Oleh Muhammad Saufi Hassan

TEMPOH pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu banyak mengubah kehidupan harian dan memerlukan suatu pendekatan baharu.

Ia termasuk cara hidup yang berbeza seperti tahun-tahun berikutnya sehingga kepada kaedah pembelajaran serta pengajaran yang unik untuk memastikan modul pendidikan itu dapat diteruskan dalam apa juga keadaan.

Hari ini, kanak-kanak terdedah dengan gajet untuk aktiviti pembelajaran mereka seperti kelas atas talian sehingga kepada latihan sesuatu subjek juga membabitkan atas talian.

Melihat kepada sudut positif, kemajuan teknologi hari ini membantu kanak-kanak atau semua peringkat umur untuk meneruskan pembelajaran tanpa mengira keadaan, tempat atau masa dan hanya bergantung kepada keupayaan jaringan Internet.

Namun, sisi gelap yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa adalah kanak-kanak hari ini sangat terdedah dengan kandungan Internet yang tidak sepatutnya termasuk bahan pornografi.

Untuk tujuan itu, ibu bapa mempunyai kaedah tertentu untuk membataskan akses kanak-kanak dan tidak memberikan 'kebebasan penuh' kepada anak mereka dengan gajet saja.

Ibu bapa boleh melaksanakan beberapa langkah ini supaya pengawalan kandungan dapat dilaksanakan dan tidak hanya bergantung kepada kata kekunci.

Setiap peranti mempunyai keupayaan untuk mengehadkan kandungan yang terpapar dalam setiap carian supaya ia bersesuaian dengan umur pengguna.

Tetapan akses menggunakan penghala (router)

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa pengguna boleh membuat limitasi akses hanya menggunakan penghala dan akses dibenarkan menerusi kapasiti memori, tempoh waktu dan sebagainya.

Ibu bapa hanya perlu memasang aplikasi penghala di telefon pintar dan melakukan padanan menerusi aplikasi berkenaan.

Tetapan akses boleh dibuat menerusi peranti tertentu yang dimiliki ahli keluarga lain dan meletakkan kepada had limitasi untuk kanak-kanak.

Pengguna peranti Apple seperti iPad boleh melaksanakan fungsi 'Childs Lock'

Bagi kanak-kanak yang memiliki peranti keluaran Apple seperti iPad tetapan berkenaan boleh dilakukan dengan kaedah mudah menerusi pemilihan kepada fungsi 'Settings'.

Selepas itu, ibu bapa perlu memilih tab pilihan paparan masa (Screen Time) kemudian memilih kandungan dan sekatan privasi (content & privacy restrictions).

Ibu bapa perlu memilih aplikasi yang boleh dibuka, aplikasi sehingga kepada kandungan laman web khusus untuk mengehadkan akses kanak-kanak.

Menggunakan fungsi akses ibu bapa dalam akaun e-mel

Kanak-kanak boleh mempunyai e-mel mereka sendiri namun ibu bapa perlu lebih prihatin dengan menghidupkan akses 'Parental Email', sekali gus dapat memantau e-mel keluar dan masuk.

Ia juga penting memandangkan setiap kali kanak-kanak mahu memuat turun aplikasi, ia memerlukan kod keselamatan yang dihantar kepada e-mel ibu bapa mereka.

Fungsi ini juga membolehkan ibu bapa atau penjaga menyekat sebarang e-mel masuk yang tidak sepatutnya dalam akaun anak anda.

Latih anak-anak untuk bercerita dan kesedaran teknologi semasa

Kaedah lebih penting adalah ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak-anak mengenai sentiasa berkongsi sebarang maklumat dengan mereka supaya lebih peka dengan akses yang diberikan.

Ibu bapa juga boleh melakukan pendedahan mengenai penggunaan gajet yang sepatutnya kepada anak-anak dan menggalakkan mereka berkongsi jika ada sesuatu berlaku.

Disiarkan pada: November 10, 2020 @ 6:30am
d