itmetro

Harus mahir pilih aplikasi

Oleh Prof Madya Dr Akmar Hayati Ahmad Ghazali

KEHIDUPAN masyarakat di negara ini semakin berubah tanpa disedari kesan daripada pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak awal tahun lalu dan impak berkenaan turut dirasai oleh semua sektor terutama bidang pendidikan.

Semua aktiviti harian sedikit demi sedikit terlaksana secara dalam talian dan hanya menekan papan kekunci sama ada di komputer atau telefon pintar, proses berjalan lancar dengan kemudahan internet yang stabil.

Salah satu aktiviti yang semakin berkembang dan mula mendapat tempat di hati masyarakat ialah pembelajaran secara dalam talian yang dilihat semakin praktikal untuk dilaksanakan terutama ketika pandemik.

Di mana-mana orang bercakap mengenainya walaupun pada peringkat awal, ia agak sukar untuk menerima kaedah ini kerana kekangan kemahiran teknologi dan keupayaan internet yang terhad namun kini tidak lagi.

Pembelajaran secara dalam talian sudah menjadi keperluan dan trending dalam kalangan pelajar dan pensyarah.

Antara konsep pembelajaran dalam talian yang mula dilayari oleh pelajar di universiti awam (UA) antaranya Massive Open Online Course (MOOC).

Pelbagai kursus ditawarkan dengan matlamat memperkayakan lagi sumber pengajaran dan pembelajaran serta memberi nilai tambah kepada pelajar.

Hakikatnya, MOOC adalah satu kelebihan pada abad ini yang dibangunkan semata-mata untuk menarik perhatian pelajar. Satu kerugian jika tidak dimanfaat peluang ini oleh pensyarah.

Pensyarah boleh memilih membangunkan MOOC masing-masing sama ada daripada kursus umum, kursus tujahan atau kursus kemahiran mengikut ketetapan Panduan Pembangunan MOOC Malaysia.

Menariknya mengenai MOOC ini, apabila pensyarah berpeluang membina kursus masing-masing dalam bentuk video asli dengan tujuan menjaga hak cipta.

Sebaik-baiknya video itu berdurasi kurang daripada lima minit supaya tidak membosankan pengguna dan disertai dengan kandungan multimedia interaktif berupa kuiz, latihan, duga akal, uji minda untuk mengukuhkan pemahaman mereka.

Malahan, pentaksiran juga boleh disediakan oleh pensyarah dan memberi gred kepada pelajar masing-masing yang mendaftar.

Dalam pada masa sama, pensyarah turut berpeluang menyedia dan memuat naik bahan rujukan tambahan. Mudahnya dengan MOOC.

Namun, proses membina MOOC juga amat mencabar kerana pensyarah harus mahir memilih aplikasi yang sesuai dan ahli kumpulan mantap bermula dari penghasilan papan cerita hinggalah proses merakam dan menyunting video. Semua harus dilakukan secara berpasukan.

Malah apabila siap, MOOC bagi setiap kursus perlu melalui proses jaminan kualiti yang diterajui oleh Jawatankuasa Jaminan Kualiti bagi memastikan kursus itu adalah asli, kandungan mempunyai kredibiliti dan mencapai kualiti yang ditetapkan.

Dapat dirumuskan bahawa pelajar pada masa kini harus diberi lebih banyak peluang untuk mereka menimba ilmu.

Tidak lagi hanya bergantung kepada pembelajaran secara bersemuka semata-mata. Mereka memerlukan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang mudah dan cepat seperti MOOC.

Selagi ada permintaan, MOOC akan terus berkembang menjadi konsep terkini dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian dengan sentiasa menambah baik sistem sedia ada mengikut keperluan semasa.

Ibarat kata "bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian" itulah gambaran terhadap pembangun MOOC yang menghadapi pelbagai kesukaran di peringkat awal pembangunannya tetapi mudah di pengakhirannya.

Sesungguhnya MOOC adalah konsep pembelajaran masa kini dan masa hadapan.

Penulis adalah Ketua Laboratori Generasi Siber

Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)

Universiti Putra Malaysia

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 6:41am
d