itmetro

Gigabyte perkenal variasi terbaharu RTX 3060 Ti

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Pengguna ditawarkan dengan pelbagai pilihan terutamanya bagi segmen permainan resolusi 1080p atau 1440p susulan pelancaran terbaharu siri kad grafik Nvidia GeForce RTX 3060 Ti.

Kali ini, Gigabyte turut memperkenalkan kad dengan modul sama menerusi tiga variasi iaitu Aorus Master, Gaming OC dan versi Eagle OC mengikut tanda harga berbeza.

Keupayaan RTX 3060 Ti ini menawarkan pengalaman permainan lebih baik malah perbandingan prestasinya adalah lebih baik daripada RTX 2070 Super dan RTX 2080.

Untuk segmen Aorus Master, Gigabyte memperkenalkan versi premium mereka dengan kelengkapan tiga kipas bertujuan untuk mengekalkan suhu pada tahap paling optimum untuk keupayaan penuh (full load).

Bagi penyebaran haba, versi Aorus Master RTX 3060 Ti itu dilengkapi dengan plat tembaga bersama tujuh paip haba.

Versi itu juga menawarkan enam sokongan sambungan video dan Gigabyte menawarkan empat tahun jaminan dengan setiap pembelian berkenaan.

Gigabyte RTX 3060 Ti Eagle OC pula didatangkan dengan dua kipas dan mempunyai kelengkapan penyelarasan lampu RGB minimum sesuai dengan tanda harga yang ditawarkan.

Tanda harga bagi Aorus Master adalah RM2,569, bagi Gaming OC (RM2,289), Eagle OC 8GB (RM2,179) dan Eagle 8GB (RM1,969).

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 7:28pm
d