itmetro

Teknologi AI masa depan industri

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PERKEMBANGAN teknologi sememangnya sesuatu yang baik dalam kehidupan masa kini kerana ia mampu untuk menguruskan kehidupan serta meningkatkan kecekapan dalam segmen industri.

Keupayaan teknologi yang ada pada hari ini juga memungkinkan manusia untuk mencapai pelbagai inovasi baharu dan terkini, teknologi kecerdasan buatan (AI) sedang meningkat serta sudah digunakan untuk industri.

Biarpun teknologi berkenaan belum benar-benar matang, namun AI berkenaan memberi gambaran masa depan dan bantuan teknologi itu mampu menyelesaikan banyak masalah serta proses yang rumit dalam industri.

Pemenang Hadiah Nobel 2003, Prof Sir Anthony James Leggett turut memberi gambaran bahawa segmen industri pada masa depan lebih mencabar dan graduan perlu bersedia dengan pelbagai kemahiran.

Beliau berkata, graduan juga perlu memiliki kebolehan untuk mempelajari perkara baharu pada setiap waktu supaya membolehkan mereka kekal berdaya saing dan sentiasa 'mengemas kini' pengetahuan dalam semua bidang.

"Ledakan penemuan saintifik perlu dipenuhi dengan usaha berani oleh saintis hebat yang menjadi perintis dan graduan tidak boleh mengetepikan keupayaan teknologi pada masa kini.

"Jika graduan mengetepikan atau kurang mempedulikan mengenai kemajuan teknologi dan hanya berbekalkan pengetahuan sedia ada, lambat laun mereka pasti akan ketinggalan dalam arus teknologi yang serba pantas ini.

"Oleh itu, graduan kejuruteraan khususnya yang lahir di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan semua graduan amnya perlu lebih bersedia menghadapi cabaran baharu dan tidak hanya bersandar kepada pengetahuan sedia ada saja," katanya ketika penganjuran Sidang Antarabangsa dalam Persidangan Antarabangsa berhubung Bahan, Pembuatan dan Peranti 2021 (ICAMaDe) 2021 secara atas talian anjuran anjuran Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Bahan Termaju (FrontMate) UniMAP yang diterajui Prof Madya Dr Mohd Sobri Idris.

Hadir sama bekas Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP Datuk Dr Mohd Sofi Osman dan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Datuk Dr Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi sebagai Penceramah Utama bersama-sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa ) UniMAP, Prof Ir Dr Mohd Rizal Arshad.

Leggett berkata, masa depan industri banyak bersandarkan kepada keupayaan teknologi hari ini dan ia juga adalah gambaran awal Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang banyak bergantung kepada automasi dalam industri.

Menurutnya, teknologi AI tidak mampu untuk mengambil alih tugas manusia, namun ia digunakan untuk menjadikan setiap tugasan lebih sistematik, tersusun dan memudahkan manusia.

"Ia juga memperlihatkan bahawa guna tenaga manusia akan dikurangkan hasil daripada kemajuan teknologi AI dan tenaga manusia hanya digunakan untuk sektor kritikal.

"Saya mengharapkan graduan kejuruteraan khususnya melihat dunia baharu ini sebagai cabaran mereka, sekali gus mempersiapkan diri terutama dalam aspek teknologi," katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2021 @ 6:30am
d