itmetro

Ledakan teknologi AI

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

MANUSIA dan robot diibaratkan akan menjadi rakan. Itu jangkaan yang berlaku pada masa hadapan, impak daripada kepesatan pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) di dunia termasuk Malaysia.

Ini kerana penggunaan robot (mesin) menjadi lebih meluas dan manusia akan bergantung kepada robot.

Robot berserta dengan AI ini berfungsi sebagai sistem yang melaksanakan tugasan tertentu secara serupa atau melangkaui kepintaran manusia.

Tugas itu termasuk membantu membuat ramalan mengenai sesuatu perkara, memudahkan proses menyelesaikan masalah dan membantu membuat keputusan dengan tepat.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Sawal Hamid Md Ali berkata, AI ialah antara elemen penting dalam revolusi industri keempat (IR4.0).

Menurutnya, ramai penyelidik melakukan pelbagai kajian yang menjurus kepada pembangunan AI, sebelum ini, pada masa sekarang dan akan datang.

"IR4.0 adalah kesinambungan IR3.0 yang menghubungkan elemen fizikal dengan sistem siber iaitu Internet (teknologi pintar moden).

Beliau berkata, AI ialah satu daripada beberapa elemen penting IR4.0 yang sudah diaplikasikan di Malaysia termasuk Internet Kebendaan (IoT), analisis data besar, robotik dan percetakan tiga dimensi (3D) serta elemen lain.

"IoT juga adalah satu daripada elemen penting kerana banyak industri yang menggunakan teknologi bergantung kepada IoT untuk berfungsi.

"IR4.0 berkembang pantas kerana keupayaan kuasa pemprosesan komputer yang semakin tinggi, mampu memproses banyak data, boleh menjalankan aktiviti AI, berhubung dengan internet dan pantas menghantar data," katanya.

Dr Sawal Hamid berkata, ada tiga tahap perkembangan AI iaitu AI lemah, AI kuat dan AI 'super intelligence'.

Beliau berkata, AI lemah sudah digunakan sejak puluhan tahun lalu. Ia adalah tahap AI yang digunakan sehingga kini, memerlukan proses pembelajaran dan tidak mempunyai keupayaan seperti manusia."

Malah, AI ini juga tidak mampu berfikir seperti manusia kerana tiada tahap perkembangan kognitif."

AI kuat pula mempunyai lebih banyak keupayaan meniru tingkah laku manusia. Emosi dan tahap kognitif yang tinggi atau setaraf manusia."

AI 'super intelligence' pula, tahap kecerdasan dan kebolehannya melebihi manusia," katanya.

Kata Dr Sawal Hamid, penyelidik sudah pun bergerak ke arah pembangunan teknologi AI kuat.

Katanya, kini sudah ada penyelidikan dibuat apabila sistem AI boleh mengenal pasti emosi manusia melalui pelbagai jenis data seperti ekspresi wajah."

Dalam sedikit masa nanti, kita mungkin boleh melihat sistem AI yang boleh memahami perasaan manusia."

Misalnya, daripada muka, boleh mengetahui individu itu sedang marah atau sedih."

Penyelidikan di Malaysia juga giat membangunkan teknologi ini dengan menggunakan pelbagai peranti termasuk peranti kamera," katanya.

Beliau berkata, terdapat dua kegunaan utama dalam AI iaitu mengesan (detection) dan jangkaan apa yang akan berlaku (prediction).

Katanya, dua perkara itu sangat penting terutama dalam bidang perubatan yang menggunakan teknologi AI bagi mengesan penyakit dihidapi pesakit."

Menggunakan AI, kita boleh melatih dengan menganalisis data besar, melatih sistem untuk mempelajari data, corak dan demografik."

Berdasarkan semua data ini, sistem boleh menjangkakan kemungkinan pesakit menghidap penyakit tertentu seperti sakit jantung atau barah dan tempoh jangkaan penyakit itu akan dialaminya," katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2021 @ 6:10am
d