itmetro

Tumpu kelestarian alam

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Rakyat Malaysia sudah mula sedar mengenai kepentingan menjaga alam sekitar. Itu kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan kepada trend carian di enjin carian utama iaitu Google.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Google memperlihatkan meningkatan paling drastik untuk pengguna di negara ini berhubung elemen carian berkaitan alam sekitar, tenaga hijau dan penggunaan bahan tidak berkarbon.

Perkembangan berkenaan jelas menunjukkan bahawa rakyat negara ini prihatin terhadap keadaan sekeliling mereka terutamanya alam sekitar dan sudah mula beralih arah menggunakan peranti atau perkakas yang menawarkan teknologi hijau.

Memperlihatkan corak pengguna di negara ini, Google Trends mendapati terdapat peningkatan drastik orang ramai dalam mencari maklumat berhubung cara hidup dengan lebih mampan.

Minat terhadap kemampanan meningkat lebih daripada 25 peratus di seluruh Asia manakala di Malaysia, carian mengenai neutraliti karbon meningkat sehingga 450 peratus.

Selain itu, topik mengenai sumber boleh diperbaharui meningkat sebanyak 250 peratus dan pelepasan gas rumah hijau meningkat lebih daripada 160 peratus.

Sebagai pengiktirafan Hari Bumi pada 22 April lalu, berikut ialah beberapa petua dan cara untuk menjalani gaya hidup yang lebih mampan dengan sedikit bantuan daripada Google.

Sebagai sebuah carian enjin terkemuka, Google sudah membuat langkah awal berhubung kempen kesedaran ini termasuklah penawaran Doogle Hari Bumi yang memperlihatkan muka bumi berubah sepanjang 40 tahun yang lalu di seluruh dunia.

Industri hari ini juga sudah mula berubah kepada penggunaan bahan yang kurang karbon atau tidak mengandungi karbon supaya memberi kesan positif kepada alam sekitar dalam jangka panjang.

Ia juga dapat menjimatkan penggunakan bahan unik bumi terutamanya dalam pembuatan peranti pintar yang sebelum ini banyak mengandungi karbon.

Telefon pintar antara peranti yang sering dibeli oleh pengguna dan mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa setiap pengeluaran peranti sama ada telefon pintar, tablet atau laptop menggunakan bahan unik bumi sekali gus meningkatkan kadar penggunaan karbon secara keseluruhannya.

Berdasarkan satu laporan firma kajian kepenggunaan mendedahkan bahawa untuk 2020, kira-kira 1.3 juta telefon pintar sudah dijual dan angka itu bertambah tahun lalu apabila merekodkan 1.5 juta unit seluruh dunia.

Setiap penghasilan peranti pintar itu pastinya menggunakan elemen unik bumi dan kini satu usaha secara bersama sedang giat dilaksanakan terutamanya membabitkan pemain industri utama.

Langkah strategik berkenaan pastinya dalam mengurangkan penghasilan bahan mengandungi jejak karbon yang tinggi sekali gus setiap peranti yang digunakan adalah mesra kepada teknologi hijau.

Pendekatan itu juga seharusnya didokong oleh semua pemain industri supaya setiap peranti yang dihasilkan tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar dalam masa panjang.

Keupayaan teknologi maju pada hari ini juga banyak membantu penghasilan tenaga serta bahan berteknologi hijau sekali gus mampu untuk mendepani masalah pelepasan karbon yang tinggi.

Disiarkan pada: April 26, 2022 @ 7:00am
d