kalamimammuda

Klopp bangga aksi pemain tanpa Van Dijk

Oleh AFP

Liverpool: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji aksi skuadnya tanpa Virgil van Dijk.

Juara Liga Perdana itu berjaya menewaskan lawan gergasi Belanda, Ajax serta Sheffield United, minggu lalu.

Sekali pun merasai ketiadaan bintang pertahanan tengah Van Dijk, yang terpaksa diketepikan beberapa bulan untuk pulih selepas menjalani pembedahan lutut susulan rempuhan keras penjaga gol Everton, Jordan Pickford ketika aksi tetangga Merseyside pada 17 Oktober lalu.

Fabinho pemain beraksi di bahagian tengah, berjaya menjalankan tugas ditinggalkan pemain Belanda itu disamping Joe Gomez.

Klopp percaya Liverpool semakin dapat membiasakan diri tanpa kehadiran "pemain pertahanan terbaik dunia" itu.

"Setiap pasukan di dunia akan merasai ketiadaan Virgil van Dijk," kata Klopp pada sidang media pra perlawanan menjelang pertembungan Liverpool berdepan Midtjylland di gelanggang sendiri dalam saingan kumpulan Liga Juara-Juara.

"Dia antara pemain terbaik di dunia. Dia mengalami kecederaan dan anda bermain tiga hari kemudian jadi sudah tentu ia adalah sukar untuk melakukannya kerana semua pemain bermain dengannya.

"Sebelum ini, kami tidak mengharungi tempoh panjang beraksi tanpanya."

Bos Reds menambah: "Fabinho, yang biasanya beraksi di tengah, terpaksa menggantikan tempatnya dan beraksi bersama Joe.

"Mereka melakukannya dengan baik dan ia akan bertambah baik 100 peratus kerana hakikatnya apa sahaja dalam hidup memerlukan masa dan mempertahankan juga memerlukan masa."

Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 10:08am
d