ku-bela

Cacing untuk alam

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Sebut sahaja mengenai cacing pasti ramai yang berasa geli geleman.

Kulitnya yang licin dengan gerakan perlahan memang tidak digemari apatah lagi haiwan itu juga gemarkan kawasan tanah lembap, longgokan sampah dan bahan reput.

Namun, cacing sebenarnya bukanlah sekadar haiwan untuk dijadikan umpan memancing semata-mata sebaliknya ia juga memainkan peranan terhadap alam sekitar khususnya industri pertanian.

Antara fungsi cacing adalah untuk memulihkan struktur tanah, menyuburkan tanah, sebagai baja organik dan banyak lagi.

Kelebihan itu turut mendorong anak muda, Mohd Amirul Mustafa, 24, dari Kampung Peramu, Kuantan, membiakkan cacing kompos jenis African Night Crawl (ANC) dan Redworm sebagai hobi masa lapang sejak setahun lalu.

Mohd Amirul berkata, minatnya terhadap pembiakkan cacing bermula pada April tahun lalu iaitu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

Katanya, selepas mempelajari kaedah pembiakan menerusi laman sosial, dia membeli dua jenis anak cacing itu dari laman membeli-belah dalam talian.

"Dalam 50 gram untuk setiap jenis yang ditempah, saya mendapat kira-kira 100 ekor cacing.

"Pada mulanya cacing itu dibela dalam bekas plastik kecil sahaja tetapi kini dipindahkan ke tong yang lebih besar selepas ia membiak berkali ganda," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mohd Amirul lagi, penjagaan haiwan itu amat mudah dan makanannya juga tidak menelan kos yang tinggi. Katanya,

cacing di dalam tong boleh ditinggal sehingga seminggu asalkan keadaan tanahnya lembap dan terdapat makanan.

"Makanannya juga mudah iaitu sayur-sayuran atau buah-buahan yang sudah rosak di dapur sendiri dan boleh diberi dalam kekerapan dua minggu sekali.

"Manakala semburan air paip pula untuk memastikan keadaan tanahnya kekal lembap," katanya.

Jelas Mohd Amirul lagi, selain cacing kompos, dia juga ada membela ikan laga, ikan gapi dan ulat roti.

Katanya, dia memang tidak boleh duduk diam dan hobi itu sedikit sebanyak dapat mengisi masa terluangnya.

"Ketika PKP, aktiviti luar memang terhad jadi saya beralih kepada haiwan-haiwan berkenaan.

"Mujurlah ibu bapa memahami dan mereka tidak melarang saya meneruskan hobi berkenaan, " katanya.

Begitupun, haiwan yang dibela Mohd Amirul bukanlah untuk dijual sebaliknya hanya suka-suka dan dia memberi cacing itu secara percuma kepada saudara mara atau rakan yang mahukannya.

Dia yang turut menggemari aktiviti memancing mengakui, sudah tidak perlu lagi membeli umpan pancing kerana hanya perlu mengambilnya dari tong di laman rumah.

"Cacing yang dibiak kini sudah melebihi tujuh tong namun saya tidak berhasrat untuk menjualnya.

"Jika ada yang mahu, boleh ambik sahaja tanpa sebarang bayaran," katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2021 @ 6:16am
d