ku-bela

Gergasi manja

Oleh Muhamaad Razis Ismail

BIARPUN memiliki fizikal yang besar dan berwajah garang, maine coon antara kucing yang popular terutama dalam kalangan peminat haiwan itu.

Saiznya yang besar dan memiliki bulu yang tebal menjadikan kucing ini sering menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Malah, kucing yang mendapat jolokan 'gentle giants' ini memiliki karakter yang lembut, manja dan suka bermain dengan kanak-kanak.

Jadi, tidak hairanlah ada yang sanggup berhabis puluhan ribu ringgit semata-mata ingin memiliki kucing maine coon berkualiti.

Bagi Farah Shah Anwar Shah yang memiliki hobi memelihara maine coon sejak empat tahun lalu, kucing ini memiliki keunikan tersendiri berbanding kucing lalu.

Katanya, cinta pandang pertama terhadap kucing spesies ini berlaku ketika dia ke sebuah kedai haiwan peliharaan.

"Pertama kali melihat saiznya yang besar, saya terus tertarik untuk menjadi kucing ini sebagai haiwan peliharaan.

"Hanya selepas itu baru saya buat carian di Internet dan teruja selepas mendapati kucing ini memiliki kelebihan lain yang terletak pada karakternya termasuk manja serta lemah-lembut yang berbeza 180 darjah dengan fizikalnya," katanya.

Kini ibu kepada tiga cahaya mata ini sudah memiliki 20 kucing maine coon yang ditempatkan di sebuah bilik khas di kediamannya di Melaka.

Menurutnya, kucing ini juga mempunyai karakter unik iaitu sangat suka bermain dengan kanak-kanak.

"Saya tidak bimbang untuk membiarkan kucing ini bermain dengan anak-anak kerana, ia tidak akan mencederakan sesiapa.

"Malah dengan kucing lain pun, maine coon mudah bergaul dan berkawan," katanya.

Mengulas lanjut, setiap bulan dia memperuntukkan kira-kira RM5,000 bagi penjagaan maine coon untuk makanan, makanan tambahan dan sebagainya.

"Untuk penjagaan bulu, saya berikan kibble premium yang seimbang dan daging mentah. Makanan tambahan turut diberikan untuk penjagaan bulu, tulang dan membina kekuatan imun badan.

"Kucing ini akan dimandi sekurang-kurang seminggu sekali untuk memastikan bulunya sentiasa bersih," katanya.

Jelasnya, kucing yang dipelihara di kediamannya dilepaskan untuk bergerak di dalam bilik yang disediakan.

"Saya tidak menggunakan sangkar supaya kucing dapat bermain dan berlari dengan bebas," katanya.

Farah berkata, dia yang berdaftar dengan Federation Internationale Feline (FIFe) turut aktif menyertai pertandingan kucing di seluruh negara.

"Baru-baru ini, maine coon saya berjaya memenangi kategori 'Best in Show Category' di Pertandingan Kucing Antarabangsa FIFe di Johor Bahru, Johor.

"Saya seronok menyertai pertandingan kerana bukan untuk mengumpul mata semata-mata, tapi dapat bertemu dengan ramai individu yang berkongsi minat sama," katanya.

Katanya, menerusi pertandingan yang banyak disertai, tercetus minat untuk membiakkan kucing berkenaan untuk memiliki kucing yang memiliki standard pertandingan.

"Anak kucing yang dilahirkan bukanlah untuk dijual tapi lebih kepada kepuasan diri apabila berjaya memiliki kucing yang cantik," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia berharap dapat membiakkan lebih banyak kucing maine coon berkualiti setaraf dengan kucing di luar negara.

Disiarkan pada: August 10, 2022 @ 6:30am
d