m

Usaha keras hasil membanggakan

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Mata seolah-olah terpesona ketika pertemuan pertama diatur dengan wanita muda yang sentiasa tersenyum manis, setiap tutur kata tersusun rapi menambahkan lagi aura luar biasa anak kelahiran Machang, Kelantan ini.

Hati bertambah teruja untuk lebih mengenali wanita yang sentiasa merendah diri ini selepas mengetahui dia bukan calang-calang wanita terutama dengan kejayaan pada usia yang masih muda dan bergelar seorang jutawan.

Sebaik membuka bicara, pemilik nama Rami Zati Najwa Mohamad Kamarudin Hilmi, 25, menarik nafas seketika ketika mula mengimbas detik awal pembabitannya sehingga berjaya bergelar usahawan berjaya kini.

Menurut Rami Zati Najwa yang lebih selesa dipanggil Najwa, mengimbau kembali detik awal pembabitannya dalam dunia perniagaan, bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi dia memulakannya dengan hasil simpanan sendiri.

“Mungkin perniagaan sudah sebati dengan diri saya kerana sejak kecil sudah melihat ibu berniaga kecil-kecilan dan ia membuatkan saya amat tertarik dengan bidang ini.

“Saya mula berniaga seawal usia 17 tahun dengan menggunakan modal RM500 yang disimpan hasil upah menjaga 12 anak saudara untuk menjadi ejen perniagaan pakaian kanak-kanak ketika itu.

“Bermula daripada itu, saya mengorak langkah kerana sememangnya sedar dan yakin ‘jiwa’ saya berada di sini. Sejak itu saya tidak lagi menoleh ke belakang,” katanya.

Menurutnya yang kini bukan saja berjaya memiliki syarikat sendiri malah turut mempunyai jenama kecantikan sendiri iaitu RZN Beauty Resources, segalanya bermula daripada bawah dan dia berusaha keras untuk berada pada tahap sekarang.

“Saya bermula dari bawah. Saya menjadi ejen dropship, pembekal pakaian kanak-kanak, membuka syarikat sendiri dan kini syukur, saya memberanikan diri menghasilkan produk sendiri pula.

“Pastinya ia bukan sesuatu yang mudah. Untuk berada pada tahap ini saya banyak berkorban terutama masa muda kerana mahu membuktikan sesiapa saja mampu berjaya asalkan berusaha gigih,” katanya.

Katanya, pelbagai pengalaman lalu terutama apabila ditipu pembekal sehingga kerugian ribuan ringgit tidak mematahkan semangatnya malah ia menjadikan wanita muda ini lebih berhati-hati dalam setiap langkahnya.

“Saya bermula pada usia yang sangat muda, mana tidaknya pada usia belasan tahun sudah mula memikirkan strategi dan jalan yang perlu dilalui untuk berjaya.

“Syukur segala penat lelah dan pengorbanan saya berbaloi kerana kini memiliki empayar perniagaan berasakan kecantikan sendiri serta mempunyai 28 stokis dan lebih 200 ejen yang bernaung di bawah saya,” ujarnya.

BERSAING DENGAN MASA

Najwa mengakui ada pihak yang meragui kredibilitinya atas faktor usia namun ia tidak mematahkan semangatnya membuktikan umur muda bukanlah penghalang untuk berjaya.

“Saya berjaya membuktikan dengan bermodalkan RM500, saya boleh mengecap hasil yang lumayan. Walaupun belum berpuas hati namun sangat bersyukur dengan apa yang dikecapi kini dan berazam mengembangkan lagi empayar perniagaan ini,” ujarnya.

Menurut Najwa, dia juga gembira kerana dengan persaingan sengit dalam perniagaan kecantikan kini, dia tetap berjaya meraih keuntungan membanggakan hampir setiap bulan.

“Bukan mendabik dada dengan kejayaan sendiri tetapi saya jadikan ia sebagai pemangkin semangat terutama kepada generasi muda yang sering mengimpikan kejayaan dan kemewahan luar biasa.

“Untuk berjaya, banyak yang perlu kita korbankan terutama soal masa kerana kadangkala saya hanya dapat tidur kurang tiga jam sehari. Jadual makan minum juga ada masanya tidak teratur demi menguruskan perniagaan,” katanya sambil tersenyum.

Menurutnya, dari luar memang nampak indah tetapi laluan untuk dia sampai ke kedudukan sekarang sememangnya sangat mencabar.

“Syukur, suami dan keluarga banyak membantu dari pelbagai sudut, tanpa mereka saya tidak akan berada pada tahap kini. Saya juga kini perlu membahagikan masa sebaik mungkin kerana sudah mempunyai seorang cahaya mata yang berusia dua tahun.

“Walaupun semakin mencabar dengan tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu, anak dan majikan tetapi saya makin seronok. Seronok kerana ia membuatkan saya lebih komited dengan tugas,” katanya.

Katanya, dengan rangkaian produk kecantikan atas jenamanya yang merangkumi pelbagai produk penjagaan wajah, dia yakin pilihannya berkecimpung dalam bidang berasaskan kecantikan adalah tepat.

“Saya wanita yang cintakan semua perkara yang cantik dan berusaha tampil anggun. Saya yakin apa yang saya lakukan ini adalah langkah terbaik bukan saja kepada diri malah kepada ramai wanita.

“Syukur produk saya mendapat sambutan memberangsangkan dan meraih kepercayaan pengguna,” katanya yang mahu terus memperluaskan empayar perniagaannya.

MAHU RAMAI WANITA BERJAYA

Selain gembira dengan hasil usaha dilakukannya, dia juga berpuas hati kerana dapat membantu ramai wanita menjana pendapatan.

“Saya amat gembira kerana dapat membantu ramai suri rumah menjana pendapatan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit sebulan hasil menjadi stokis dan ejen di bawah saya.

“Tertunai impian saya untuk berkongsi kejayaan dengan insan lain. Sukar hendak digambarkan kepuasannya apabila dapat membantu wanita lain berjaya,” katanya.

Najwa berkata, impiannya melahirkan lebih ramai jutawan tanpa mengira usia dan latar belakang perlu diteruskan.

“Saya berusaha keras untuk membantu semua stokis dan ejen supaya sama-sama berjaya dengan memberikan pelbagai tunjuk ajar dan seminar bersesuaian bagi mengembangkan lagi minda serta kebolehan mereka berniaga.

“Dalam perniagaan, kita tidak boleh malu, mudah berputus asa atau cepat berpuas hati selain perlu sedia berkorban untuk mengecapi kejayaan,” katanya.

Dia yakin di mana ada kemahuan di situ ada jalan dan akan terus berusaha membantu lebih ramai wanita yang mahu menjana pendapatan bulanan namun tidak tahu caranya.

“Tidak seronok berjaya seorang diri dan inilah sebabnya saya sentiasa mendorong semua ejen serta stokis untuk memastikan mereka juga mampu meraih pendapatan lumayan setiap bulan.

“Seperti yang saya katakan, tidak ada apa yang mustahil dan berharap segala penat lelah selama ini berbaloi sekali gus membuktikan seorang wanita juga mampu menggoncang dunia,” ujarnya mengakhiri bicara.

Disiarkan pada: May 12, 2017 @ 1:08pm
d