m

Aksi genit depan kamera

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Dikurniakan rupa paras jelita, tubuh langsing malah berkeyakinan tinggi, sememangnya gadis berusia 20 tahun ini layak dinobatkan juara Pencarian Wanita Melayu (PWM) 2017 yang dianjurkan, baru-baru ini.

Melihat gayanya yang bersahaja, kebolehan berkomunikasi, penampilan serta pesona sebagai wanita Melayu dan komitmen tinggi menyempurnakan tugasan yang diberi dalam pertandingan itu menarik minat juri hingga menewaskan sembilan finalis lain.

Pakej lengkap kurniaan Ilahi buat Nurul Ain Nasiron digunakan sebaik-baiknya dan menjadi batu loncatan untuknya mengorak langkah dalam bidang peragaan sejak tamat persekolahan.

Menurutnya, sebaik dinobatkan sebagai juara pertandingan itu, tidak dapat digambarkan perasaannya kerana menyedari saingan sengit yang ditunjukkan finalis lain, apatah lagi rata-rata mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri.

“Memang kelu lidah dan saya hanya mampu mengalirkan air mata kegembiraan dan kesyukuran atas kemenangan itu. Saya cuba buat yang terbaik dan alhamdulillah rezeki memihak kepada saya.

“Mungkin kerana sudah sebati dengan bidang peragaan membuatkan saya tidak kekok di hadapan kamera, yakin dan sentiasa menonjol, jadi ada kelebihan saya di situ,” katanya yang ditemui selepas diumumkan sebagai juara Pencarian Wanita Melayu 2017 di Plaza Shah Alam.

Mengimbas pengalamannya dalam bidang itu, wanita berasal dari Sungai Petani, Kedah ini berkata, semuanya berlaku dengan pantas selepas seorang jurugambar yang juga rakan Facebook mengajaknya mengadakan sesi fotografi buat kali pertama.

Pucuk dicita ulam mendatang, dia mula berjinak-jinak mengenali dunia model dan pada peringkat awal, Nurul Ain mengambil masa berbulan-bulan cuba mencari apakah asas utama yang perlu ada dalam dirinya untuk menepati kehendak industri yang penuh liku ini.

Katanya, laman YouTube menjadi medium utamanya menuntut ilmu asas peragaan, meneliti kembali setiap pengalaman yang pernah dilalui demi menempa nama sebagai model.

Oktober 2015 adalah detik pertama Nurul Ain mencuba nasib dalam pertandingan Pencarian Model Billboard anjuran Festival Kerja Kahwin Utara yang diadakan di Sungai Petani dan dinobatkan sebagai juara.

“Seterusnya, saya mengorak langkah dalam bidang ini. Pentas peragaan paling jauh pernah saya pergi adalah di Singapura. Namun pentas paling berprestij sepanjang karier saya ketika memperagakan koleksi pereka tersohor Bon Zainal Harun, Datuk Shah Rezza, Datin Sharifah Shawati dan Rasta Rashid.

“Selain itu, saya juga berpeluang menjadi model untuk Loreal Matrix Rock & Strobe Hair Show bersama Kobi Bokshish dan Stevie English dari Australia,” katanya.

PERANG MEMASAK

Anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, kerjaya sebagai model bukanlah sekadar mengejar populariti, malah perlu disusuli seni yang sangat mendalam.

Katanya, menjadi model bukan hanya pandai bergaya di depan kamera kerana mereka perlu menghayati watak tanpa bersuara dan pergerakan secara visual (video) tetapi cukup menggambarkan ekspresi yang mendalam pada setiap gambar dihasilkan.

“Penceritaan yang kuat dapat ditunjuk dan diperjelaskan dalam sekeping gambar. Melalui gambar ini masyarakat faham apa yang ingin kita sampaikan.

“Seterusnya model juga perlu tahu cara memperagakan sesuatu barang atau produk daripada pereka tempatan ataupun antarabangsa bagi menarik minat pembeli.

“Perkara ini memang dititikberatkan dalam diri seseorang model supaya tidak hanya hebat di depan lensa kamera, malah menguasai pentas peragaan bagi melayakkan mereka dilabel sebagai model versatil. Ini menjadi pegangan saya hingga kini,” katanya.

Jika kerjaya ini dianggap sesuatu yang menyeronokkan dan mudah, bagi Nurul Ain, untuk mengekalkan diri dalam bidang ini dia perlu menitikberatkan disiplin diri dan memberi komitmen tinggi dalam setiap tugasan yang diberi.

Seterusnya, dia juga perlu pantas membuat sesuatu keputusan sama ada di dalam atau di luar situasi terkawal atau tidak.

Ditanya mengenai pengalaman menarik sepanjang menyertai PWM 2017, dia tersenyum. Mana tidaknya, dia seolah-olah menerima keluarga baru kerana hubungan erat antara penganjur, finalis dan kru.

Paling tidak dapat dilupakan apabila dia dan finalis menerima tugasan tak diduga iaitu lawatan ke Kompleks Kraf bertukar menjadi perang memasak antara kumpulan finalis.

“Finalis dibahagikan kepada kumpulan, ada yang perlu menyediakan sambal belacan, sambal kelapa dan kerabu kacang botol.

“Semua kumpulan perlu menyediakan hidangan untuk 30 orang. Pengalaman ini bagi saya amat menyeronokkan kerana dapat lihat rakan kumpulan bertungkus-lumus menyiapkan menu terbaik.

“Selain itu, finalis perlu memasak menggunakan bahan rahsia di dalam kotak misteri. Apabila tiba giliran memilih, saya mendapat daging kambing, memang pada awalnya jantung seakan-akan terhenti kerana ini kali pertama saya menggunakan bahan itu.

“Tidak lama kemudian, tercetus idea membuat kari daging lembu resipi ibu saya tetapi diinovasikan kepada kari daging kambing. Tidak sangka, resipi saya mendapat perhatian juri,” katanya.

Dalam pertandingan itu juga dia turut berpeluang mengenali adab dan budaya negeri di negara ini dengan lebih mendalam.

Nurul Ain yang mewakili Negeri Sembilan berkata, setiap finalis PWM 2017 perlu melaksanakan tugasan akhir pada acara pertunjukan bakat dengan mewakili negeri yang dicabut undi dan dipersembahkan pada malam akhir pertandingan itu.

PWM 2017 bermula awal tahun ini dengan hampir 1,000 penyertaan secara dalam talian dibuka di laman Facebook Plaza Shah Alam. Selepas saringan dan uji bakat, hanya 30 peserta dipilih ke peringkat separuh akhir dan 10 yang terbaik layak ke final.

Bagi tahun keempat penganjuran PWM 2017 ditaja Habib Jewels dan Ice Watch Malaysia sebagai penaja utama. Hasil kemenangan itu, Nurul Ain membawa pulang wang tunai RM3,000, barang kemas Habib Jewels, jam tangan Ice Watch dan pakej percutian.

Disiarkan pada: May 26, 2017 @ 1:20pm
d