m

'Ilmu senaman amat penting'

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Mencegah lebih baik daripada merawat. Namun, ada kalanya apabila penyakit menimpa, ia mampu mewujudkan kesedaran dalam kalangan sesetengah pesakit bangkit melawan kesakitan sekali gus memperbaiki kesihatan badan yang kurang diambil perhatian sebelum ini.

Baharom Harun, 51, yang lebih dikenali dengan panggilan Coach Bob juga pernah melalui situasi berkenaan. Sebelum ditimpa penyakit, dia kurang mengambil peduli mengenai kesihatan dirinya sendiri walaupun dalam sejarah keluarga ada yang pernah menghidap pelbagai penyakit kronik.

Sama seperti kebanyakan lelaki yang sudah berkahwin, dia juga menganggap perubahan fizikal terutama pada bahagian perut adalah perkara biasa. Ini termasuk penyakit yang dikesan selepas usianya menjangkau 40-an apabila disahkan menghidap darah tinggi dan kencing manis.

Namun, dia bersyukur kerana tersedar lebih awal untuk mengubah dan mengembalikan kesihatannya dengan lebih giat bagi mengelakkan kesan buruk yang bukan saja pada dirinya sendiri tetapi keluarganya juga.

Kini, Baharom dikenali sebagai jurulatih kecergasan bertauliah National Association of Strength and Conditioning (NASC), jurulatih peribadi, jurulatih program kesihatan dan kecergasan korporat serta melatih jurulatih kecergasan.

Tindakan awal beri kebaikan

Berat badan berlebihan ditambah faktor usia dan gaya hidup tidak sihat menyebabkan rata-rata individu berusia 40 tahun ke atas lebih berisiko mengalami penyakit kronik yang semakin lazim seperti kencing manis, darah tinggi, kolesterol dan sakit jantung.

Lebih mengejutkan dan membimbangkan, kebanyakannya menganggap mendapat penyakit gaya hidup itu selepas melewati usia 40 tahun adalah perkara biasa.

Situasi berkenaan turut diakui oleh Baharom satu ketika dulu. Pada 2010, ketika usianya memasuki 44 tahun, dia disahkan menghidap kencing manis dan darah tinggi.

Disebabkan itu, dia terpaksa mengambil ubat setiap hari. Begitupun, situasi berkenaan dianggap sebagai perkara biasa biarpun memiliki keturunan yang menghidap penyakit berkenaan serta faktor usia.

“Ketika zaman muda dulu pernah juga bersenam namun tidaklah kerap dan konsisten seperti sekarang. Selepas berkahwin, saya tidak lagi bersenam dan gemar menikmati minuman atau makanan manis serta berlemak hingga memasuki kategori obes.

“Ketika itu pula saya bekerja di bahagian pemasaran syarikat teknologi maklumat dan kehidupan yang kurang tersusun menyebabkan saya tidak memikirkan kepentingan menjaga kesihatan ,” katanya.

Jelasnya, kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung baginya bukanlah sesuatu yang menggerunkan kerana ia sudah lama wujud dalam keluarganya yang membabitkan datuk, ibu bapa dan adik-beradik. Malah dia tahu mengenai penyakit itu sejak kecil lagi.

Dia diberitahu tekanan darahnya sudah mencecah tahap kritikal yang menyebabkan dia selalu berasa pening. Malah, dia pernah terjatuh ketika cuba berdiri selepas bangun tidur.

Lebih memburukkan keadaan, dia turut mengalami masalah berat badan berlebihan iaitu lebih 100 kilogram (kg) dengan keadaan perut buncit dan saiz pinggang 40 inci. Semua perkara ini mengganggu emosi dan psikologinya hingga menerbitkan perwatakan yang negatif.

“Saya mula tekad untuk berubah sebaik mengetahui penyakit dialami dan sedar mengenai kesan kepada diri jika tidak mengubah gaya hidup apatah lagi ketika itu anak masih kecil, baru empat tahun.

“Melihat sejarah keluarga seperti kakak yang berusia 50 tahun dan dan adik bongsu (37 tahun) yang meninggal akibat komplikasi penyakit berkenaan sedikit sebanyak membuatkan saya sedar untuk berubah. Saya tidak mahu kesihatan saya meninggalkan kesan negatif kepada isteri dan anak.

“Kemudian, saya cuba buat perubahan dengan bersenam dan menjaga pemakanan secara perlahan-lahan serta konsisten bagi mengembalikan kesihatan badan,” katanya.

Melalui pembacaan di Internet dan bertanya kepada rakan, selepas melakukan usaha secara berterusan, dalam tempoh setiap enam bulan dia mampu menurunkan berat badan sehingga 10kg.

Awal 2011, dia mendapat tahu mengenai kebaikan rutin latihan berkala berintensiti tinggi (HIIT) iaitu senaman yang membantu pembinaan otot dan menggalakkan pembakaran lemak.

Selama tiga bulan dia mempraktikkan senaman berkenaan dan dapat melihat kesannya kepada badan terutama dalam aspek kecergasan, stamina serta perubahan bentuk badan.

Ujarnya, senaman HIIT sangat efektif untuk membantu membakar lemak, mengurangkan berat badan, meningkatkan kadar metabolisme dan mengekalkan kecergasan badan.

“Saya cuba perkenalkan rutin latihan senaman itu kepada kawan-kawan dan secara tidak rasmi berkongsi ilmu dengan individu yang mempunyai masalah kesihatan.

“Bagi mendalami ilmu dalam bidang kecergasan, pada akhir 2013 saya ambil kursus untuk menjadi jurulatih bertauliah.

“Kemudian saya menjadi jurulatih peribadi bertauliah pada awal 2015. Ilmu yang dipelajari bukan hanya membantu dan memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan kepada orang ramai, malah untuk kebaikan diri sendiri,” katanya.

Baginya, ilmu pengetahuan sangat penting untuk mendapatkan hasil yang terbaik dalam mengembalikan kesihatan dan kesejahteraan di samping mendapatkan berat badan ideal.

Atlet warga emas

Selepas terbabit dalam bidang berkenaan dan mengenali ramai jurulatih kecergasan, dia terpanggil untuk menceburkan diri sebagai atlet dalam sukan menguji kekuatan badan atau strongman.

“Pada penghujung 2015 saya menyertai sukan ekstrem yang masih dianggap baru di negara ini. Ia memerlukan kekuatan, ketahanan dan stamina yang tinggi untuk menyempurnakan setiap misi yang diberikan.

“Pada 2016, saya mula aktif menyertai pertandingan sukan ini dalam kategori master bukan saja dalam negara tetapi di Singapura dan pernah layak ke Asia Pasifik untuk pertandingan akhir.

“Bagi saya, apapun yang ingin kita lakukan, ilmu perlu ada terutama dalam proses perubahan membabitkan gaya hidup kerana ia bukan mudah. Ramai yang gagal kerana kurang ilmu,” katanya.

Sebaiknya, untuk berubah kita perlu tahu objektif utama, mencari rutin latihan senaman yang bersesuaian dan praktikal mengikut keadaan diri.

Ramai antara kita yang mengawal pemakanan dan melupakan senaman. Memang kesannya dapat dilihat dalam jangka masa pendek, namun ia tidak berkekalan.

Ilmu pemakanan sangat penting bagi memastikan setiap individu mengetahui jumlah keperluan kalori masing-masing agar tidak diambil secara berlebihan.

Ilmu senaman juga penting bagi mendapatkan kesan diinginkan bukan saja pada kesihatan tetapi impak kepada berat dan bentuk badan.

Sebaiknya lakukan senaman seimbang yang meliputi semua kategori iaitu campuran rendah, sederhana atau tinggi dan senaman angkat beban untuk membina otot serta stamina.

Ramai berpendapat apabila memasuki usia 40 tahun, sukar untuk bersenam kerana tahap kesihatan dan stamina yang rendah.

Sebenarnya, faktor usia hanyalah alasan psikologi semata-mata kerana apabila kita mempunyai keinginan tinggi dengan ilmu mencukupi, perubahan dapat dilakukan untuk memastikan kesihatan dikekalkan bagi melalui usia emas dalam suasana menyeronokkan.

Tip kekal bersemangat

1. Ubah perspektif anda. Lakukan untuk diri sendiri. Fikirkan kepentingan senaman untuk orang tersayang.

2. Tetapkan sasaran. Apakah yang anda ingin capai? Kesihatan, kecergasan, bentuk badan dan keyakinan semuanya akan datang serentak apabila anda bersenam secara berkala.

3. Mulakan secara berperingkat dan konsisten.

4. Buat jadual bersenam supaya senaman jadi tetap dan teratur.

5. Cari aktiviti yang menyeronokkan dan pelbagaikan corak senaman.

6. Jangan dera diri sendiri. Fahami keupayaan diri dan tambahkan cabaran apabila prestasi semakin meningkat.

7. Dapatkan sokongan sama ada ahli keluarga, rakan atau jurulatih peribadi.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 11:18am
d