m

Kerjaya berlandaskan minat

Siapa sangka, bermula hanya sekadar hobi, minat dalam dunia pertukangan kayu membolehkan anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini menjana pendapatan bulanan yang memberangsangkan.

Jika dilihat pada mata kasar, berkecimpung dalam bidang pertukangan kayu ini tidak serumit mana, namun hakikatnya ia antara kerjaya yang memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi.

Tidak semua individu mampu melakukannya kerana selain kesabaran, ilmu dan teknik tepat terutama dalam menghasilkan bentuk yang sukar antara kriteria utama dalam penghasilan sesuatu produk.

Ternyata langkah diambil Mohd Shaharul Nizam Mohd Shuhaimi, 32, yang juga graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal adalah sesuatu yang berbaloi kerana tidak semua individu dilahirkan dengan bakat semula jadi dalam bidang itu.

Menurut Mohd Shaharul Nizam, permintaan tinggi terutama dalam penghasilan produk berasaskan kayu membuatkan dia tekad meneruskan hobinya secara lebih serius.

“Tidak ramai tukang kayu di Lembah Klang dan peluang yang terhidang di depan mata ini perlu direbut. Saya perlu berusaha lebih gigih bagi memenuhi setiap kehendak dan permintaan pelanggan yang mahukan hasil terbaik,” katanya.

Mohd Shaharul Nizam berkata, dia memulakan perniagaan dengan membuka bengkel pertamanya di Puchong Kinrara sebelum berpindah ke Shah Alam, Selangor.

“Produk yang saya hasilkan bergantung kepada permintaan pelanggan. Selain itu saya juga menawarkan khidmat pengubahsuaian kafe, restoran, butik dan dekorasi rumah.

“Syukur, kerjaya yang berlandaskan minat ini menjadi penyumbang utama pendapatan kami sekeluarga. Namun yang lebih penting, saya bekerja dengan gembira,”ujarnya.

Ikuti temu bual ringkas bersama Mohd Shaharul Nizam mengenai kerjayanya bergelar tukang kayu dan mengusahakan syarikat Kustom Karpenter.

Soalan (S): Selain minat, apakah antara sebab utama anda memilih bidang ini?

Jawapan (J): Bidang ini memberi satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata selepas siap menghasilkan satu-satu produk. Saya boleh tersenyum sendiri melihat hasil kerja sendiri. Tentu saja saya rasa lebih gembira apabila melihat pelanggan menyukai hasil kerja saya.

S: Apakah antara cabaran atau dugaan yang perlu anda tempuh untuk bergelar tukang kayu?

J: Cabaran utama dalam bidang ini adalah untuk meyakinkan pelanggan mengenai kemahiran saya. Pastinya bukan mudah untuk meyakinkan mereka sekali gus dan membuka hati pelanggan untuk menggunakan khidmat saya. Selain itu, saingan daripada tukang kayu lain juga membuatkan saya perlu kreatif dalam menghasilkan produk. Kualiti perlu dijaga dan untuk itu, saya gunakan kayu yang terbaik.

S: Apakah status diri anda dan kini menetap di mana?

J: Saya sudah berkahwin dan dianugerahkan tiga cahaya mata iaitu dua perempuan dan seorang lelaki. Saya kini menetap di Shah Alam, Selangor memandangkan bengkel saya juga di situ.

S: Siapakah yang memberi dorongan untuk menjadi tukang kayu?

J: Dorongan itu datang daripada diri sendiri. Ini adalah minat saya dan saya yakin mampu melangkah lebih jauh dalam bidang ini. Saya juga ada mengikuti laman pkdiy di Facebook dan ia antara saluran terbaik yang membantu saya dalam bidang ini. Selain itu, sahabat karib saya Ezzy Dayana antara individu terawal yang memberi idea untuk saya mengusahakan perniagaan ini. Pastinya isteri dan anak-anak juga adalah pemberi semangat utama pada saya untuk terus berusaha lebih jauh.

S: Apakah harapan anda dalam bidang pertukangan kayu ini?

J: Saya mengimpikan untuk membuka kilang perabot sendiri satu hari nanti. Di kilang itu nanti, semua produk yang dijual adalah hasil idea dan kerja tangan saya. Buat masa kini, saya mengharapkan perniagaan pertukangan kayu ini dapat berkembang dan dikenali.

S: Apa nasihat anda kepada anak muda yang mahu berkecimpung dalam bidang ini?

J: Untuk bergelar tukang kayu anda tidak boleh malu kerana ia juga adalah kerjaya yang rumit. Pupuk minat yang ada dan banyakkan mencuba untuk mendapatkan hasil yang terbaik kerana kemahiran itu bertambah dengan pengalaman. -Siti Nadirah Hafidzin

Disiarkan pada: June 16, 2017 @ 3:57am
d