m

Baju Melayu tradisi Alif Satar

Oleh Siti Zarinah Sahib

Memiliki sifat kemelayuan yang menebal dalam diri, mendorong pelakon, penyanyi dan pengacara Alif Satar menjalin kerjasama dengan pereka fesyen kegemarannya Bon Zainal menerusi koleksi baju Melayu Tradisi Alif Satar oleh Bon Zainal.

Menyifatkan baju Melayu bukan hanya dipakai pada musim perayaan Aidilfitri atau Aidiladha potongan klasik serta rekaan tradisi sewajarnya dikekalkan kerana ia melambangkan budaya bangsa Melayu itu sendiri. Cara pemakaian baju Melayu juga perlu sempurna dan lengkap.

“Kita perlu menggayakan mengikut cara klasik lengkap bersamping dan bersongkok. Bagi generasi muda pula sewajarnya mereka mengenali dan menggayakan baju Melayu agar ia tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Sebagai peminat setia sut rekaan Bon Zainal, bagi Alif padanan yang dihasilkan pereka ini bukan saja berkualiti tetapi menepati ciri yang diinginkan. Oleh itu sentuhan serta kualiti jahitan tidak perlu dipertikaikan lagi. Bagi Bon Zainal pula dia merasakan Alif bukan saja lelaki berketrampilan menarik tetapi lambang lelaki Melayu moden.

“Oleh kerana saling mengenali kami bertemu dan berbincang bagi memulakan projek baju Melayu bersempena Aidilfitri 2017 yang menampilkan 10 warna gaya raya yang eksklusif dan istimewa. Antaranya rona terang ungu, hijau dan biru serta warna asas hitam dan putih,” kata Bon Zainal.

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 3:53am
d