m

Semangat membara misi basmi AIDS

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Semangat yang membara dalam menyampaikan mesej dan perjuangan menamatkan AIDS membawa dua anak muda tempatan menyahut cabaran mengikuti misi berdepan cuaca ekstrem panas di Gurun Gobi, China dan mengharung kedinginan Artik.

Komitmen Jerry Song, 21, dan Jeff Lau, 26, dalam mempromosikan usaha mengurangkan jangkitan HIV baru dalam kalangan remaja sememangnya wajar dipuji.

Di Malaysia, golongan muda dalam kumpulan umur 13 hingga 29 tahun menyumbang satu pertiga daripada semua jangkitan HIV baru setiap tahun. Keadaan ini amat membimbangkan kerana catatan penularan HIV terus meningkat saban tahun dan sedihnya ia berlaku pada golongan muda yang sepatutnya menjadi teras pembangunan negara.

Didorong situasi yang membimbangkan ini, mereka bergabung di bawah Red Ribbon Youth Club, projek advokasi belia Yayasan AIDS Malaysia (MAF) bertujuan meningkatkan kesedaran HIV, AIDS, pendidikan dan sokongan rakan dalam kalangan belia Malaysia dengan menyebarkan mesej jauh ke pelosok dunia yang boleh dicapai manusia.

Song dan Lau masing-masing berjaya membuktikan kemampuan diri melalui persaingan dalam laluan jalan kaki paling sukar di dunia pada cabaran 4 Deserts Gobi March China dan 6633 Arctik Ultra sebagai sebahagian program HOT & COLD Ultra Challenge 2017 awal tahun ini.

“Saya mencubit diri sendiri setiap kali berfikir mengenai perlumbaan ini,” kata Song, yang baru berjinak dalam sukan ekstrem.

“Saya hanya menyertai beberapa maraton penuh sebelum ke Gobi March. Secara umumnya, sukar untuk mempercayai bahawa beberapa minggu lalu, saya berlumba mengharungi bukit pasir yang sukar, gunung, hutan tebal dan padang Gurun Hitam Gobi

yang luas dan kering,” katanya.

Sepanjang perjalanan sejauh 250 kilometer (km) di Laluan Sutera Purba di Wilayah Xinjiang di barat laut China, yang

berlangsung selama tujuh hari dan mempunyai enam tahap, Gobi March menggabungkan perlumbaan jejak gunung dalam cuaca yang sejuk dan perlumbaan padang pasir yang panas.

Ia adalah sebahagian daripada empat pusingan padang pasir, diiktiraf di peringkat global sebagai siri jejak luar yang paling berprestij di dunia. Dua anak muda ini mempamerkan ketahanan masing-masing dalam edisi tahun ini yang diadakan pada 18 hingga 24 Jun lalu.

Berjuang tamatkan misi

Sebagai persediaan menyertai perlumbaan berkenaan, pelajar tahun ketiga jurusan perubatan Universiti Malaya itu berkata, dia berlatih sebaik mungkin malah mengakui terpaksa ‘berjuang’ menyesuaikan diri antara pengajian dengan jadual latihannya.

Namun katanya, tiada satu pun yang dapat mempersiapkan seseorang itu untuk sampai ke peringkat lima, tahap yang paling sukar dalam perlumbaan.

Digelar Long March, peringkat terakhir adalah perlumbaan sejauh 82km yang berterusan dalam keadaan panas melampau iaitu Gurun Hitam Gobi yang panas kering dengan suhu mencecah 45 darjah Celsius.

“Saya melakukan dengan baik sehingga titik pemeriksaan terakhir, tepat tengah malam. Ketika itu saya merasakan sensasi terbakar di dalam tubuh walaupun angin sejuk bertiup dengan kuat. Doktor perlumbaan memberitahu, saya menderita strok haba yang ringan.

“Saya amat penat. Saya cuba bertahan tetapi gagal dan ia amat mengecewakan,” kata anak kelahiran Pulau Pinang itu. Pada ketika itu, dengan keadaan yang semakin mencengkam, dia hampir menyerah kalah.

Namun kata Song, apa yang mendorongnya adalah ingatan kepada keluarga, rakan dan penyokongnya di tanah air. Sokongan dan mesej perangsang yang dihantar kepadanya menguatkan semangatnya untuk terus berjuang menamatkan misi, meskipun perlu berlari perlahan.

Katanya, dia turut terhutang budi kepada rakan perlumbaan yang tinggal bersamanya sepanjang pemulihan kerana mereka tidak putus memberikan motivasi untuknya menyelesaikan perlumbaan.

“Saya juga berjanji kepada diri sendiri bahawa tidak menamatkan perlumbaan bukan satu pilihan. Saya perlu menyelesaikan misi AIDS ini walaupun payah,” katanya.

Selepas menamatkan misi itu, Song menjadi rakyat Malaysia termuda melengkapkan cabaran 4 Deserts Gobi March dan merancang meneroka cabaran ekstrem lain untuk meneruskan usaha kesedaran AIDSnya.

“Sementara itu, saya akan terus bercakap mengenai isu HIV dan AIDS yang memberi kesan kepada anak muda melalui Red Ribbon Youth Club,” katanya.

Harungi laluan paling sukar

Dengan dua Marathon des Sables (disenaraikan oleh Discovery Channel sebagai laluan jalan kaki paling sukar di dunia) kedua-duanya pernah ditakluki di Gurun Sahara Maghribi Selatan, bagi mengumpul dana untuk pelari maraton ultra berpengalaman MAF dan Red Ribbon Youth Ikon, Lau tahu apa langkah seterusnya.

“Saya perlu terus berlari,” katanya ringkas.

Malah dia melakukan itu hanya, walaupun dalam arah bertentangan yang ekstrim.

Lau mendaftar untuk 6633 Arctic Ultra, perlumbaan yang meliputi jarak 563km di landskap beku di Lingkaran Artik Kanada, di tengah-tengah suhu yang turun hingga ke -50 darjah Celsius. Dia bersedia untuk menguji kekuatan mental dan fizikalnya dalam edisi kesembilan cabaran yang melalui laluan kaki paling sukar, sejuk dan lapang di planet itu yang berlangsung pada 7 hingga 13 Mac lalu.

Katanya, tugasnya bersama MAF membawanya kepada beberapa insan yang paling memberi inspirasi pernah ditemui.

Keberanian dan kesungguhan mereka menjalani kehidupan dengan bermaruah walaupun terjejas oleh HIV dan dalam beberapa keadaan yang paling sukar dibayangkan menjadi inspirasinya untuk menolak batas lebih jauh dengan menyahut cabaran Arctic Ultra.

“Keadaan sungguh mencabar. Suhu beku dan angin yang berais perlu dihadapi, tetapi itu tidak boleh ditandingi dengan reput ais. Memikirkan keadaan ini saja sudah membuatkan saya mengalami mimpi buruk.

“Pada masa lain, paling menakutkan adalah ketika saya mengalami septisemia daripada kecederaan kaki. Terima kasih atas tindakan pantas pasukan perubatan, saya pulih sepenuhnya,” katanya.

Bagaimanapun, pengembaraan Artiknya tidak lama lagi. Lau berhenti daripada menyeberangi garisan penamat perlumbaan pertama apabila dia kehilangan dua barang wajib, beg bivvy dan tikar tidur, terbang dibawa oleh angin kencang yang meniup pada kelajuan 70km sejam.

“Saya terkejut dengan hasil persembahan yang paling teruk, tetapi saya perlu mengalah dengan tuntutan badan yang mengalami keletihan melampau akibat berlari dalam salji tebal dan ais,” katanya.

Walaupun disingkirkan, Lau tetap berbangga menjadi rakyat Malaysia pertama yang pernah bersaing di 6633 Arctic Ultra. Sememangnya kesungguhan Lau dan Song menjadi kebanggaan semua orang.

Lau dan Song diberi penghargaan di HOT & COLD Charity Run 2017 yang dianjurkan oleh MAF dan Fakulti Perubatan UM, Kuala Lumpur.

HOT & COLD Charity Run 2017 menarik penyertaan 1,700 pelumba dalam tiga kategori perlumbaan - 3km, 5km dan 10km - sekitar kampus utama UM.

Larian itu bagi meraikan pencapaian kedua-dua pelari terbabit dan meningkatkan kesedaran mengenai keadaan HIV dalam kalangan belia. Selain itu, kutipan dana dari larian itu akan disalurkan kepada MAF dan Tabung Pembangunan Fakulti Perubatan UM.

Disiarkan pada: August 4, 2017 @ 2:39pm
d