m

Kecelaruan memahami erti kasih sayang

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Generasi muda hari ini dilihat berdepan cabaran besar dalam mengenali erti kasih sayang sebenar. Himpunan aplikasi dalam talian, ruang sembang dan laman media sosial memburukkan keadaan. Mereka hanyut dalam arus teknologi sehingga merosakkan diri sendiri.

Tidak kira lelaki mahupun perempuan, masing-masing cenderung menjadi mangsa dan pemangsa. Mereka menggunakan kasih sayang, kurang perhatian ibu bapa dan simpati sebagai alasan untuk terus tenggelam dalam dunia yang dicipta sendiri.

Pakar Sosial yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kebanyakan anak muda kini sebenarnya kurang memahami maksud kasih sayang. Mereka cenderung mentafsir kasih sayang sebagai luahan verbal sahaja tanpa disusuli rasa tanggungjawab dan komitmen kepada pasangan.

“Kalau dilihat di sekolah, kolej, institusi pengajian tinggi (IPT), waima kelompok remaja berpeleseran sekalipun, mereka hebat bermain dengan kata-kata cinta. Pada anggapan mereka, ucapan ‘I love you’ (saya cintakan kamu) atau ‘I care about you’ (saya mengambil berat diri kamu) yang dikirim atau diluah kepada individu itu sudah menunjukkan perasaan kasih dan sayang.

“Walhal kasih sayang bukan sekadar luahan kata cinta dan perhatian, tetapi merangkumi bukti dari segi perbuatan. Perlu ditegaskan perbuatan itu perlu berpaksikan norma hidup dan tidak bertentangan dengan agama, budaya dan masyarakat.

“Namun kerana salah tafsir yang timbul, ramai dalam kalangan remaja kita kini mudah tertipu dengan kata manis. Mereka membuka ruang hati untuk berkasih sayang mengikut kefahaman sendiri. Jadi, tidak hairan jika ramai hanyut dan akhirnya berasa tertipu dengan hubungan maya yang dibina,” katanya.

Perangkap kasih maya

Menyentuh antara punca yang mendorong generasi muda menjalin hubungan dalam talian, Dr Mohammad Shatar berkata, faktor utama yang kerap dikenal pasti dalam kes seumpama ini adalah kesibukan ibu bapa dan ahli keluarga untuk mengadakan masa berkualiti bersama-sama.

“Zaman ini, majoriti ibu bapa khususnya di bandar, keluar pagi dan pulang lewat malam. Sampai di rumah, biasanya ibu atau ayah penat dan anak pula sudah tidur. Apabila rutin ini berulang setiap hari, ia mendorong remaja mencari alternatif untuk mendapatkan kasih sayang dan perhatian.

“Mereka tidak mencari hiburan di luar rumah, sebaliknya meneroka telefon bimbit dan gajet yang ditinggalkan ibu bapa. Satu demi satu aplikasi sosial dimuat turun dan akhirnya menjadi perantara untuk mereka meluah dan menyampaikan kasih sayang kepada individu yang dikenali di dunia maya,” katanya.

Andai situasi ini dinilai dari sudut luaran semata-mata, kemungkinan besar ramai ibu bapa akan menarik nafas lega melihat anak berkelakuan baik di rumah. Namun tanpa sedar, keadaan ini sebenarnya jauh lebih berbahaya dan boleh merosakkan masa depan remaja.

Siapa tahu, anak yang disangka baik mungkin sudah terjerat dengan perasaan cinta yang terbina menerusi hubungan maya? Pastinya keadaan lebih buruk jika ia turut bersangkutan dengan aktiviti yang meruntuhkan moral anak.

“Pada dasarnya, adalah sukar untuk kita katakan hubungan maya ini sebagai penyakit sosial dalam masyarakat. Ia boleh jadi ya dan tidak. Media sosial hari ini sangat berguna dan banyak membantu kita untuk mencapai matlamat tertentu dalam pelajaran, kerja, menyebarkan kebaikan serta mengeratkan hubungan persaudaraan. Tetapi apabila ia disalahgunakan, diguna melampaui batasan, itulah yang menjadikan ia barah dalam masyarakat.

“Mengapa saya katakan ia barah, kerana apabila media sosial hari ini terlalu banyak digunakan, secara tidak sedar ia menjauhkan kita kepada perkara asas dalam hidup iaitu interaksi sosial fizikal.

“Bukan setakat remaja, malah ramai antara kita hari ini cukup berbangga mempunyai ribuan rakan di media sosial. Kita seronok menjalin hubungan kasih sayang di alam maya, tanpa sedar tidak mempunyai seorang pun kawan yang boleh diharap atau dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku perkara tidak diingini dalam kehidupan realiti.

“Dalam erti kata lain, pengaruh media sosial menjadikan masyarakat lebih bersifat individualistik. Mereka yang terperangkap dalam keseronokan ‘melayan’ Facebook, Instagram, WeChat, WhatsApp, Twitter dan sebagainya ini terasing daripada masyarakat umum.

“Mereka mempunyai kawan di seluruh dunia, tetapi ketinggalan dalam kehidupan sebenar yang memerlukan interaksi sosial, bertemu muka dengan rakan, bersentuh atau bergurau senda antara satu sama lain. Saya bimbang sekiranya situasi ini berterusan, kita mungkin akan melahirkan kelompok masyarakat yang ‘tidak boleh’ bercakap, sukar berinteraksi antara satu sama lain dan tidak pandai menyelesaikan masalah.

“Mereka ini boleh jadi sudah terlalu lama bersendirian dalam bilik dan terkepung dalam dunia sendiri. Sepatutnya, generasi muda lebih aktif menjalani kehidupan sihat, banyak bergaul menerusi aktiviti fizikal seperti bersukan, riadah, perbincangan kumpulan, permainan dan sebagainya. Interaksi sebegini mampu mewujudkan bangsa yang maju dan kuat dalam menahan sebarang bentuk serangan,” katanya.

Galak interaksi fizikal

Jelas Dr Mohammad Shatar, sekalipun banyak keburukan dalam penyalahgunaan media sosial, namun banyak juga kelebihan yang tidak boleh disangkal atau dipandang remeh.

“Media sosial kini bertindak sebagai medium untuk membantu kita mencapai matlamat. Kalau dimanfaat secara baik, ia akan memberi pulangan yang baik kepada sesiapa saja. Tetapi jika disalah guna, ia boleh mendatangkan petaka. Tidak ada salahnya jika kita menggunakan platform ini untuk berhubung, tetapi janganlah sampai melupakan interaksi sosial secara fizikal tadi.

“Kalau kedua-duanya dapat diseimbangkan, saya rasa tidak ada masalah. Namun apa yang kita lihat hari ini adalah sebaliknya. Golongan muda kita ‘berdamping’ dengan dunia maya hampir 99 peratus daripada masa terluang mereka. Ini jelas tidak sihat,” katanya.

Menurut beliau, jika perkara itu tidak dibendung, ia akan menjejaskan masa depan anak bangsa. Kualiti graduan menurun kerana masalah interaksi dan kemahiran insaniah yang lemah.

“Mereka bukan setakat tidak mampu berkomunikasi baik, malah tidak layak menjadi pelapis kepimpinan negara, tidak pandai menyelesaikan masalah dan tidak akan menjadi manusia kreatif. Ini berlaku akibat menghabiskan terlalu banyak masa mengadap gajet.

“Sementara gajet ini seperti yang kita tahu, ia tidak mempunyai perasaan atau maklum balas kepada penggunanya. Jadi, bagaimana ia hendak membantu seseorang itu meningkatkan kemahiran insaniah?” soalnya.

Kata Dr Mohammad Shatar, masyarakat umum perlu sedar bahawa kemahiran insaniah hanya boleh diasah melalui interaksi sosial secara fizikal.

“Kalau mahu remaja kita aktif dalam bentuk komunikasi, kepemimpinan, mempunyai pemikiran kritikal dan hebat menyelesaikan masalah, galakkan mereka keluar dari bilik dan meninggalkan dunia gajet.

“Beri perhatian dan kasih sayang, pantau penggunaan gajet dalam kalangan anak supaya mereka tidak ketagihan. Peringatan sebegini sebenarnya tidak asing dalam masyarakat kita kerana banyak iklan kesedaran mengenai pentingnya interaksi dan membina hubungan baik dengan keluarga serta rakan.

“Setiap kali musim perayaan, akan keluar iklan datuk nenek yang berkecil hati dengan anak cucu yang sibuk melayan telefon bimbit, melayari internet serta bermain dengan gajet. Kehadiran anak cucu sepatutnya mencetuskan suasana meriah dengan gelak ketawa dan usik mesra, tetapi semua itu tidak berlaku kerana masing-masing terlalu sibuk dengan dunia sendiri.

“Sudah sampai masanya kasih sayang disebar dengan perhatian dan sikap peka ibu bapa terhadap anak. Kenal pasti aktiviti dan had penggunaan gajet untuk seisi keluarga. Galakkan interaksi fizikal supaya mereka tidak mencari perhatian dan cinta di alam maya. Mungkin kita boleh berkumpul beramai-ramai pada setiap hujung minggu dan melarang sebarang penggunaan gajet dalam tempoh berkenaan. Menyekat arus teknologi mungkin mustahil, namun banyak inisiatif lain boleh diambil untuk mengeratkan kasih sayang keluarga,” katanya.

Menyebut perihal kemajuan arus teknologi tanpa sempadan, beliau berkata, semua pihak bertanggungjawab untuk menghalang penularan video dan mesej yang boleh meruntuhkan moral anak.

“Ia bukan tanggungjawab individu atau agensi berkaitan semata-mata, tetapi semua pihak dalam masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing terutama sekolah, ibu bapa dan komuniti masyarakat keseluruhannya. Wujudkan kesedaran mengenai penyalahgunaan media sosial.

“Kita tidak boleh kata bahawa media sosial perlu disekat hanya kerana berlakunya keruntuhan moral dalam kalangan generasi muda kerana ia mungkin boleh menjejaskan proses pembelajaran mereka pada masa akan datang. Dalam kata mudahnya, kita tidak boleh menolak teknologi yang ada, tetapi perlu meningkatkan pemantauan dan mencari kaedah terbaik untuk menguruskan penggunaan gajet dalam kalangan ahli keluarga untuk kebaikan bersama.

“Nasihat saya kepada generasi Y, timba kasih-sayang dalam keluarga dan gunakan gajet yang ada untuk kebaikan diri, masyarakat dan negara. Usah jadikan gajet sebagai pemusnah masa depan. Perlu diketahui bahawa hidup ini bukan sekadar untuk hiburan, tetapi fokus kepada akademik dan kemahiran insaniah. Ini penting kerana sering dirujuk majikan sebagai kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berkumpulan, etika moral dan sebagainya.

“Semua kemahiran ini hanya diperoleh apabila remaja keluar daripada bilik masing-masing dan bercampur gaul dengan masyarakat, berinteraksi secara bersemuka serta mengimbangkan kehidupan sosial mereka di alam maya serta realiti.

“Paling utama, kasih sayang itu bersifat subjektif. Jadi jangan mudah menyalahgunakan kemudahan teknologi hari ini semata-mata untuk meraih perhatian dan rasa cinta daripada pasangan di alam maya. Setiap kali menggunakan kemudahan internet, kita perlu tanya pada diri, sama ada perkara yang hendak dilaksanakan itu memberi manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat atau pada masa depan. Kalau jawapannya ya, maka boleh diteruskan, jika sebaliknya, eloklah berhenti,” katanya.

Disiarkan pada: September 15, 2017 @ 8:40am
d