m

Suzy bukan sekadar peraga busana

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Wanita muda tinggi lampai ini begitu manis tatkala melempar senyum. Lirik matanya menawan, langkahnya molek tersusun kemas. Nursuzyantie Noraziazam, 23, atau lebih dikenali sebagai Suzy Azam memang berbakat besar dalam dunia peragaan.

Berpegang teguh kepada penampilan wanita Muslimah, anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan ini bukan saja bijak menggayakan busana di depan lensa kamera, malah mempunyai bakat besar dalam mereka busana moden mahupun klasik. Manis wajahnya kerap menarik ramai pengusaha fesyen pengantin untuk menjadikan anak keempat daripada lima beradik ini sebagai model di pentas peragaan.

Mengikuti sesi fotografi untuk fesyen tudung dari butik abangnya, House of Belezza baru-baru ini, Suzy nampak begitu profesional menggayakan setiap helaian selendang di kepalanya.

Tidak muncul riak geram sekalipun berkali-kali disuruh mengulang gaya yang sama.

Jelas wanita ini begitu profesional dan komited menjalankan tanggungjawab. Usia mudanya tidak sedikit pun menghalang Suzy menyerlahkan potensi diri. Malah dia begitu yakin untuk meniti arus dunia peragaan yang serba mencabar.

Majalah M (M): Mengapa memilih kerjaya sebagai model?

Suzy (S): Ia bermula dengan dorongan abang saya, jurumekap artis dan penyanyi, Ren Ryzam. Dia banyak memberi sokongan untuk saya menceburi bidang peragaan. Cubaan pertama saya adalah menerusi pertandingan Pencarian Model Estee Lauder. Ketika itu saya baru berusia 15 tahun. Agak mengejutkan apabila nama tersenarai sebagai 10 yang teratas. Bagaimanapun, pada umur itu saya masih belum berhijab.

Kemudian, secara perlahan-lahan timbul minat untuk bergelar model. Saya banyak membuat rujukan dan membelek majalah fesyen untuk melihat aksi model memperagakan pakaian. Kemudian, pada usia 17 tahun, saya mula berhijab dan kembali aktif di pentas.

Banyak ruang dan peluang berharga saya ambil untuk mengutip pengalaman. Daripada menjadi model Muslimah biasa, saya cuba memperagakan busana pengantin, mengikuti penggambaran untuk produk dan banyak lagi.

Sementara menanti peluang ke pentas, saya juga aktif membantu Ren memperagakan busana untuk butiknya. Sesekali, saya juga memenuhi permintaan abang untuk membantunya mereka pakaian.

M: Apakah cabaran yang dilalui sepanjang membina karier?

S: Sama seperti kebanyakan model, saya juga tidak dapat lari daripada pelbagai kritikan dan cakap orang. Namun bagi saya, semua itu lumrah, asam garam kehidupan yang perlu dilalui sesiapa saja, tidak kira dalam apa bidang sekalipun.

Adakalanya kritikan yang dilontar tidak munasabah. Jadi, saya ambil pendekatan untuk terus memandang ke depan. Namun, ada juga kritikan yang membina. Jika ia membawa manfaat pada diri, saya akan mengambilnya sebagai panduan masa depan. Bagaimanapun, saya tidak pernah risau kerana tahu membezakan apa yang baik dan buruk. Tambahan pula abang mengambil tugas mengurus keperluan dan membantu membuat keputusan. Semuanya jadi lebih mudah dan meyakinkan.

M: Khabarnya Suzy pernah menyertai pencarian Wanita Melayu Terakhir.

S: Ya. Selain berkenalan dengan ramai orang dalam industri, saya juga banyak mengutip pengalaman berharga sepanjang mengikuti pertandingan ini. Menerusi pertandingan inilah saya membina keyakinan diri sedikit demi sedikit. Walaupun gagal menyerlah di pentas pencarian, saya sedar itu bukan pengakhiran untuk karier, sebaliknya permulaan yang berharga. Ia membakar semangat saya untuk lebih kental berusaha dan terus maju dalam bidang ini.

M: Sejauh mana karier sebagai model memberi kepuasan pada diri?

S: Memandangkan saya masih baru, jadi banyak lagi perkara yang saya mahu dilakukan untuk mencapai kepuasan sebenar. Setakat ini, saya belum mendapat kepuasan dan tidak puas lagi untuk mencuba. Namun, saya bersyukur kerana semua perancangan berjalan dengan baik. Saya mahu bermula dari bawah dan mengutip pengalaman sebanyak mungkin untuk kepuasan diri.

M: Bagaimana dengan bidang rekaan fesyen?

S: Saya mula berjinak-jinak dengan dunia rekaan fesyen sebaik saja abang membuka butik. Pada awalnya saya sekadar membantu apa yang patut. Tetapi apabila sudah berada dalam dunia rekaan dan melihat abang begitu bersungguh-sungguh menghasilkan sesuatu yang unik, saya jatuh hati.

Kalau dulu saya hanya melontar idea secara suka-suka, kini saya semakin serius menghasilkan rekaan terbaik untuk butik. Saya banyak belajar dan merujuk kepada mereka yang mempunyai pengalaman dalam fesyen untuk mendapatkan idea baru.

Tidak lama lagi, saya juga akan mengeluarkan jenama tudung sendiri yang keseluruhan materialnya diimport khas dari Turki. Melihat sisi baru yang muncul dalam diri saya kini, ternyata bidang rekaan fesyen juga sepadan dengan minat dan fokus untuk ke pentas peragaan.

Rugi rasanya jika saya mensia-siakan minat dan kebolehan yang ada. Sekarang, saya juga sudah memiliki impian untuk membuka butik sendiri seperti abang.

Disiarkan pada: September 15, 2017 @ 8:45am
d