3-pagi

Terang tak lagi relevan

Oleh Muhamad Safar Ahmad

Satu ketika dulu kita sering diingatkan supaya jangan berada di tempat sunyi, gelap serta terpencil lebih-lebih lagi jika berseorangan.

Tujuannya adalah bagi mengelak menjadi mangsa jenayah kerana mengikut logik akal tiada penjenayah berani mengapa-apakan kita jika kita berada di tempat terang dan kawasan tumpuan ramai.

Ruang selamat ini diwujudkan dalam usaha mencegah sebarang bentuk ancaman ketika berada di luar dan kelihatannya ia berjaya sebagai satu bentuk perlindungan mudah untuk manusia.

Bagaimanapun, hari ini konsep perlindungan ini nampaknya semakin kurang berkesan kerana penjenayah yang semakin terdesak sudah tidak lagi memilih masa dan tempat untuk melakukan jenayah.

Insiden enam lelaki menyamun pelanggan dan pekerja sebuah restoran di Ukay Boulevard, Taman Melawati, Hulu Klang, baru-baru ini yang berlaku ketika terdapat ramai pelanggan sedang menjamu selera membuktikan bahawa kawasan terbuka dan terdapat ramai orang yang disifatkan sebagai ruang selamat sudah tidak lagi relevan hari ini.

Lalu, apa lagi langkah boleh diambil bagi memastikan kita tidak berada di tempat dan waktu yang salah supaya tidak menjadi mangsa?

Sebenarnya tiada siapa pun boleh memberi jawapan terhadap persoalan ini. Jenayah boleh berlaku di mana-mana, pada bila-bila masa dan dalam apa jua situasi.

Ruang selamat yang kita wujudkan ketika ini hanya sekadar satu usaha untuk meminimumkan perlakuan jenayah semata-mata tanpa ada sebarang jaminan bahawa jenayah tidak akan berlaku.

Tindakan seperti menempatkan anggota keselamatan, memasang kamera litar tertutup (CCTV), meletakkan penggera dan pemantauan tidak semestinya menakutkan penjenayah. Ia hanya untuk meminimumkan, bukan menghentikan terus sesuatu jenayah.

Perlu diingat penjenayah juga mempunyai strategi mereka sendiri. Mereka juga mempunyai perancangan teliti sesuai dengan peredaran masa.

Jenayah berlaku kadang-kadang di luar jangkauan pemikiran normal. Malah, ada ketikanya jenayah yang ditonjolkan dalam filem fiksyen Hollywood juga berlaku di dunia nyata.

Pola jenayah hari ini sama ada berbentuk kekerasan, harta benda atau penipuan semakin kompleks.

Modus operandi penjenayah berubah dengan pantas, sama pantasnya dengan kemunculan entiti bagi mengekang jenayah itu sendiri.

Lihat saja kes penipuan dalam talian atau perbankan elektronik. Walaupun pihak berkaitan sentiasa mengemas kini teknologi sekuriti mereka, masih ramai yang menjadi mangsa.

Penjenayah ini pun golongan bijak pandai juga. Mereka sentiasa selangkah di hadapan kita. Sebab itulah statistik jenayah yang direkodkan pihak berkuasa saban tahun tidak banyak berubah.

Jenayah juga tidak mengenal taraf sosio ekonomi. Ia tidak hanya berlaku dalam komuniti kelas bawahan.

Negara maju juga tidak terlepas daripada cengkaman jenayah. Mungkin kes ragut kurang berlaku di negara A, tetapi statistik kes kolar putihnya tinggi.

Jadi di manakah persekitaran selamat dalam dunia hari ini? Sebagai anggota masyarakat yang memiliki tanggungjawab terhadap kelompok masing-masing, tanyalah diri kita apakah peranan yang boleh dilakukan dalam meminimumkan jenayah di tempat masing-masing.

Pola jenayah yang sentiasa berubah-ubah ini perlu ditangani dengan bijak serta mencari kaedah yang relevan dengan situasi semasa.

Silibus pendidikan peringkat awal pun nampaknya perlu dimasukkan subjek berkaitan isu jenayah sebagai pendedahan kepada murid.

Apa pun, ibu bapa adalah sumber utama ilmu pencegahan jenayah untuk anak masing-masing.

Penulis Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Metro Ahad

Disiarkan pada: May 14, 2017 @ 2:44am
d