3-pagi

<strong><em> </em></strong><strong><em>Elak sisi buruk jadi tontonan umum </em></strong>

Oleh Muhamad Safar Ahmad

Awas, jika anda seorang jenis panas baran dan mudah melenting tak tentu pasal lebih-lebih lagi ketika berada di tempat awam.

Jika berlaku perselisihan faham dengan sesiapa saja di jalanan, kawal emosi anda, jaga tutur kata dan bahasa badan anda. Paling penting jaga perbuatan serta sebarang isyarat melampau sebagai tindak balas.

Ia mungkin akan mengubah perjalanan hidup anda pada masa depan yang akan disesali untuk seumur hidup.

Jika anda enggan menerima nasihat ini dan apa yang saya katakan benar-benar berlaku ke atas anda satu hari nanti, bersedialah untuk menjadi ‘popular’ satu Malaya.

Di luar sana ramai jurukamera tidak bertauliah yang sudah bersedia dengan gajet masing-masing untuk merakamkan perangai jelik anda itu.

Bukan itu saja, rakaman berkenaan bakal ditonton jutaan orang dalam masa beberapa jam saja, malah mungkin lebih cepat daripada itu.

Video tular membabitkan pelbagai insiden seperti pertengkaran, pergaduhan, penganiayaan, jenayah dan bermacam ragam manusia kini menjadi trend terbaru, bukan saja dalam kalangan rakyat negara ini malah di seluruh dunia.

Malah, sudah muncul ratusan komuniti media sosial yang menghimpunkan pelbagai koleksi kisah masyarakat ini yang penyebarannya hingga ke seluruh dunia.

Tekan saja butang ‘kongsi’ maka sisi buruk anda akan dapat ditonton jutaan pengguna media sosial sehingga ke New York.

Insiden seorang wanita menunjukkan isyarat lucah serta mencampakkan kasut ke arah seorang pemandu kereta gara-gara berebutkan petak parkir baru-baru ini adalah contoh terbaik natijah daripada fikiran singkat kita.

Sekarang individu itu sudah dikenali ramai apabila wajahnya tular dan menjadi ‘troll’ di Facebook.

Kesannya bukan saja kepada dirinya sendiri malah ahli keluarga dan juga orang lain.

Kita boleh tampil untuk membuat permohonan maaf dan sebagainya namun implikasi daripada ‘kerosakan’ yang sudah berlaku tidak dapat diundur kembali dan akan diingati untuk tempoh yang lama.

Kebelakangan ini semakin banyak pengguna media sosial seolah-olah ketagih untuk menularkan rakaman sebegini atas pelbagai alasan.

Mereka tidak peduli dengan larangan agama dan prinsip moral supaya tidak menghebahkan aib orang lain kepada umum.

Disebabkan kita tidak dapat mengawal tangan-tangan gatal yang suka menyebarkan keburukan orang ini, sesuatu yang boleh kita kawal adalah tindak tanduk kita sendiri.

Mengendalikan emosi dan api amarah amat penting apatah lagi ketika kita berada dalam bulan yang penuh rahmat ini.

Kadang-kadang mengambil sikap mengalah itu adalah langkah bijak kerana hakikatnya jika berbuat demikian tidak bermakna kita kalah tetapi ia satu kemenangan dalam melawan nafsu.

Di sinilah pentingnya sifat pemaaf dan bertolak ansur sesama manusia tanpa mengira warna kulit atau anutan agama.

Ramadan sepatutnya menjadikan kita lebih bijak mengawal diri dan berbuat kebaikan seterusnya menjadi teladan kepada penganut agama lain betapa cantiknya Islam.

Penulis Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Metro Ahad

Disiarkan pada: June 4, 2017 @ 1:58am
d