3-pagi

Dunia memang benar-benar gila!

Oleh Muhamad Safar Ahmad

Membaca laporan berita seorang datuk bersekongkol dengan tiga anaknya memperkosa dua cucu perempuannya yang kini berusia 14 dan 19 tahun membuat kita terfikir apakah dunia sudah benar-benar gila.

Malah, lebih keji, salah seorang tertuduh dalam kes yang didengar di Mahkamah Sesyen di Kota Samarahan, Sarawak itu adalah bapa kandung kepada dua beradik itu sendiri.

Bagaimana empat beranak itu tergamak menodai darah daging mereka sendiri dan ia adalah perbuatan yang langsung tidak dapat diterima akal.

Dalam usia yang menghampiri senja, lelaki itu mungkin terpaksa menghabiskan hayatnya di sebalik tirai besi dan diharap menggunakan sisa usia yang ada untuk bertaubat.

Apapun, masa tidak boleh diundur. Trauma yang terpaksa dilalui dua beradik malang itu pastinya memakan tempoh yang lama untuk pulih.

Kes sumbang mahram atau haruan makan anak bukan isu baru. Ia rumit dan mungkin juga ada kes yang tidak dilaporkan. Malah, dalam sesetengah insiden keluarga enggan memperbesarkan isu berkenaan atas faktor malu dan mencemarkan maruah keluarga.

Akhirnya di pelaku bebas tanpa hukuman manakala mangsa pula tiada pembelaan. Situasi itu mungkin berterusan apatah lagi jika mangsa di bawah umur dan tidak tahu kepada siapa mahu mengadu.

Statistik Polis Diraja Malaysia bagi tempoh 2015 dan 2016 merekodkan 412 kes sumbang mahram membabitkan mangsa bawah umur di seluruh negara.

Sementara itu, bagi tempoh 2010 hingga 2016, sebanyak 6,813 kes keganasan seksual membabitkan mangsa kanak-kanak dilaporkan.

Angka yang dikumpul turut menunjukkan lebih 20 peratus jenayah sumbang mahram membabitkan perbuatan memperkosa dilakukan bapa kandung termasuk ada mangsa berusia seawal enam tahun.

Masyarakat hari ini banyak memberi tumpuan kepada penjenayah luar seperti sentiasa memastikan pintu rumah berkunci atau tidak bercakap dengan orang tidak dikenali.

Bagaimana pula jika si pelaku berada di dalam rumah anda sendiri? Mereka yang selayaknya memberi perlindungan kepada mangsa sebaliknya mereka yang menjadi musuh dalam selimut.

Kebanyakan kita melihat lelaki warga emas sebagai golongan yang tidak berisiko dan mereka dikategorikan sebagai bukan ancaman.

Namun hakikatnya tiada siapa tahu apa yang terbuku dalam hati dan fikiran mereka.

Siapa pernah bertanya golongan ini mengenai keperluan mereka selain aspek penjagaan kesihatan fizikal, makan minum dan tempat tinggal.

Banyak kajian yang dilakukan pakar psikologi mendapati antara penyumbang ke arah fenomena haruan makan anak terutama dalam institusi kekeluargaan adalah kehendak seksual terlalu tinggi, ketagihan alkohol, kecenderungan seks kepada kanak-kanak (pedophilia), isteri tidak berfungsi dan kemarahan yang memuncak berpunca daripada kejadian lampau.

Bagi kanak-kanak yang sering ditinggalkan bersama golongan ini tanpa dipantau sebenarnya meletakkan kanak-kanak berkenaan dalam risiko walaupun peratusannya terlalu rendah.

Penulis Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Metro Ahad

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 3:56pm
d