3-pagi

Perut cicah air asam dan 'handphone'

Oleh Muhamad Safar Ahmad

Sup daging dan tulang, perut cicah air asam dan daging masak kicap adalah menu utama setiap kali ada ibadah korban di kampung saya.

Hidangan ini biasanya membuatkan tetamu yang diundang akan makan dua tiga kali tambah apatah lagi dimasak menggunakan daging segar yang baru disembelih.

Sejak awal pagi, penduduk akan turun bergotong-royong menyembelih, melapah dan memasak bersama-sama. Riuh rendah suasana ditambah jerit pekik anak-anak berlarian.

Ia kenangan yang sangat indah dan hari ini suasana seperti itu sukar ditemui walaupun di kampung.

Satu ketika dulu kenduri korban adalah waktu yang ditunggu-tunggu kebanyakan penduduk kampung.

Dengan status ekonomi ketika itu bukan senang nak makan daging. Rata-rata kami makan daging hanya beberapa kali setahun. Itupun pada hari raya dan majlis kenduri kahwin.

Jika tidak hari-hari makan nasi berlauk ikan kembung. Tapi kami tetap bersyukur kerana masih dapat makan berbanding ada umat Islam di negara luar yang terpaksa menjamah roti dan air kosong di pagi hari raya.

Namun generasi hari ini tidak begitu ghairah bila diajak ke rumah yang mengadakan kenduri dan ibadah korban. Mereka memilih untuk tinggal saja di rumah dan menghadap handphone.

Mungkin juga kerana mereka hidup di zaman serba senang dan daging bukanlah makanan mewah seperti zaman saya kanak-kanak dulu.

Begitu juga dengan perayaan Aidiladha. Satu ketika dulu, walaupun ia tidak semeriah Aidilfitri, Hari Raya Korban tetap memberi makna cukup besar kepada kami.

Pakai baju baru dan berkunjung dari rumah ke rumah ‘mengutip’ duit raya adalah pemandangan biasa. Kami meraikan dengan penuh semangat.

Ibadah korban hari ini juga lebih ringkas. Dengan kemudahan yang ditawarkan agensi yang melaksanakan korban di luar negara, kita tidak perlu berpeluh menumbangkan lembu atau kerbau, malah dalam setengah kes ada yang cedera akibat ditendang atau ditanduk haiwan korban.

Ini belum dikira insiden lembu terlepas dan terpaksa mengejar ternakan satu kampung.

Hari ini, serah saja jumlah wang yang ditetapkan dan proses akad, maka terlaksana sudah amalan sunat itu. Biar pihak lain yang melakukannya untuk kita.

Amalan ini sesuai untuk mereka yang sibuk namun kita kehilangan suatu pengalaman yang amat berharga jika kira bersama-sama menyertai acara menyembelih, melapah dan memasak.

Bagaimanapun, masih ada penduduk di bandar dan taman perumahan yang mengekalkan tradisi lama ini.

Walaupun sibuk dengan urusan masing-masing, mereka tidak mahu tradisi berkenaan hilang ditelan masa.

Bagaimanapun, mahukah anak-anak kita nanti meneruskan kesinambungan amalan ini dalam tempoh sepuluh atau 20 tahun lagi?

Penulis adalah Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Metro Ahad

Disiarkan pada: September 3, 2017 @ 4:27am
d