3-pagi

Membentuk budaya kayuh basikal

Oleh Muhamad Safar Ahmad

Terdapat lebih satu bilion basikal di seluruh dunia yang mana jumlahnya sekali ganda bilangan kenderaan bermotor.

Pengeluaran kenderaan dua roda itu juga khabarnya merekodkan lebih 100 juta setahun berbanding 50 juta angka pengeluaran kereta dan kenderaan berenjin lain.

Basikal diperkenalkan pada abad ke-19 dan sejak itu ia mengambil alih pelbagai fungsi seperti rekreasi, pekerjaan, ketenteraan, sukan dan sebagainya.

Di Belanda, terdapat kira-kira 17 juta basikal yang hampir menyamai jumlah penduduknya.

Sebanyak 25 peratus penduduk negara tulip itu menggunakan basikal untuk ke tempat kerja dengan purata jarak 2.5 kilometer sehari bagi setiap pengguna basikal.

Kota Amsterdam muncul bandar raya mesra basikal terbesar di dunia.

Ia memiliki laluan berbasikal sepanjang 400 kilometer dan hampir 40 peratus perhubungan di kota berkenaan adalah laluan basikal.

Beberapa bandar raya utama dunia lain juga sinonim dengan basikal seperti Shanghai yang mana terdapat kira-kira 10 juta basikal dan 60 peratus warganya berbasikal untuk ke tempat kerja.

Di Malaysia juga, aktiviti berbasikal kini seakan mula menjadi budaya rakyat kita.

Di sana sini boleh ditemui pelbagai kumpulan penunggang basikal sama ada di jalan raya atau di trek berbukit dan hutan.

Pergilah ke mana saja terutama pada hujung minggu, kelibat orang berbasikal tidak sukar ditemui berbanding sedekad lalu.

Ini satu perkembangan sihat. Dari aspek kesihatan, berbasikal dapat membakar 600 kalori sejam.

Seorang rakan yang begitu obses dengan basikal akan bercerita tanpa henti dan penuh semangat jika diajukan topik mengenai kenderaan itu.

Cuma katanya di negara kita masih banyak ruang yang perlu diperbaiki untuk golongan pencinta aktiviti berbasikal sepertinya.

Kekangan utama ketika ini adalah lokasi dan laluan yang terhad untuk penunggang basikal menyebabkan ramai yang mengambil risiko menunggang di jalan raya.

Ini menyebabkan banyak kes kemalangan jalan raya membabitkan penunggang basikal termasuk atlet berbasikal negara seperti mana yang dilaporkan sebelum ini.

Tidak perlulah kita bandingkan negara kita dengan kemudahan yang terdapat di negara lain seperti Belanda.

Bagaimanapun, cukuplah jika kerajaan sekadar memberi lebih perhatian kepada usaha untuk memantapkan kemudahan seperti trek basikal dan lokasi selamat.

Ketika ini memang ada laluan laluan khas basikal contohnya di Kuala Lumpur sepanjang 5.5 kilometer dari Dataran Merdeka ke pusat beli-belah Mid Valley yang dibuka sejak 2015.

Baru-baru ini, kerajaan juga memaklumkan akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memperbaiki laluan basikal di ibu negara dengan mengambil model laluan khas basikal di Putrajaya yang dibina Perbadanan Putrajaya (PPj).

Selain itu, laluan khas basikal di kawasan projek Kolam Biru ilham Perdana Menteri di laluan dikelilingi monumen bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan Pasar Seni, dijangka siap pertengahan tahun depan.

Ini peluang yang menarik untuk rakyat kerana selain dapat beriadah dan menyihatkan badan, kepentingan terhadap alam sekitar turut terpelihara.

Saya juga tertarik dengan cadangan kerajaan memberi insentif cukai kepada syarikat industri pemasangan basikal lumba dalam usaha merakyatkan aktiviti sukan berkenaan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengemukakan perkara itu turut menekankan dalam menzahirkan usaha berkenaan minat terhadap kegiatan berbasikal perlu ditanam dalam kalangan rakyat lebih-lebih lagi, aktiviti itu tidak hanya untuk golongan yang mempunyai sumber kewangan kukuh.

Penulis adalah Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Metro Ahad

Disiarkan pada: September 17, 2017 @ 5:18am
d