3-pagi

Bahaya kanser bernama rasuah

Oleh Muhamad Safar Ahmad

Ketika saya baru bergelar wartawan, seorang pengarah negeri Badan Pencegah Rasuah (BPR) pernah meluahkan kebimbangannya kepada saya mengenai trend jenayah rasuah yang semakin serius.

Kini selepas lebih 20 tahun barulah saya sedar kebimbangan pengarah berkenaan berasas berkaitan peningkatan rasuah di negara ini.

Berdasarkan jumlah tangkapan bagi tempoh 2014 hingga 2016, seramai 2,329 individu ditahan, majoriti penjawat awam iaitu 1,088 individu, 778 (orang awam), sementara lain-lain kategori iaitu swasta dan ahli politik adalah 463 orang.

Ini bermakna, dua orang ditahan setiap hari atas kesalahan rasuah.

BPR sudah pun bertukar nama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan cabaran agensi itu juga semakin besar dan bertambah.

Dengan 2,100 kakitangan agensi itu di seluruh negara, mereka bukan sekadar perlu memberi tumpuan kepada 1.6 juta kakitangan awam, malah pelbagai pihak lain termasuk syarikat swasta, orang perseorangan dan ahli politik bagi menangani penyakit yang semakin membarah ini.

“Doakan kami diberikan kekuatan ketika menjalankan tugas,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad dalam satu majlis di Johor, baru-baru ini.

Kita sedar beban yang perlu dipikul Dzulkifli dan anggota bawahannya bukan kecil anak.

Mendepani pesalah rasuah tidak sama seperti menangani pesalah kes mencuri di pasar raya.

Pesalah rasuah terdiri daripada pelbagai latar belakang dan tidak sedikit yang memiliki kedudukan tinggi dalam masyarakat.

Ini bermakna mereka yang bergelar pegawai SPRM ini memiliki jiwa yang kental, keberanian luar biasa dan perlu bijak dalam tindak-tanduk.

Syabas kepada golongan teristimewa ini. Tidak ramai yang mampu laksana tugas berat ini.

Sebab itu, Dzulkifli mengulangi kata-kata bahawa untuk membanteras rasuah, orang ramai juga jangan gentar, jangan takut. Sampaikan maklumat kepada SPRM.

Mengikut laporan, kesedaran masyarakat terhadap pencegahan rasuah dan salah guna kuasa juga semakin meningkat susulan pertambahan jumlah pemberi maklumat kepada SPRM.

Rasuah berlaku di mana-mana. Malah, ia berlaku di bawah pengaruh sedar manusia.

Mungkin tidak ramai perasan bunga-bunga kepada kecenderungan budaya sogokan bermula seawal usia kanak-kanak.

Pernahkah kita menggunakan kaedah memberi ganjaran kepada anak-anak sebagai usaha memujuk mereka berkelakuan baik atau tidak ponteng sekolah misalnya?

Ini sebenarnya tindakan kurang bijak. Kita perlu tahu membezakan antara memberi ganjaran atau hadiah disebabkan kejayaan atau bukan.

Golongan pakar bersetuju bahawa pemberian untuk memujuk anak-anak supaya berkelakuan seperti sepatutnya adalah tidak baik untuk mereka.

Pengasas The Love and Logic Institute yang juga pakar bidang keibubapaan Jim Fay berpendapat, ‘merasuah’ kanak-kanak untuk atas apa saja alasan yang baik sebenarnya mendorong mereka berpendapat bahawa hanya wang atau pemberian yang dapat mengubah sesuatu.

Seorang lagi pakar psikologi klinikal barat Dr Laura Markham menggariskan kanak-kanak tidak sepatutnya menerima apa-apa pemberian sebagai pendorong untuk mereka melakukan sesuatu yang sepatutnya mereka lakukan, contohnya tidak ponteng sekolah kerana pergi ke sekolah adalah kemestian untuk setiap kanak-kanak.

Saya bersetuju dengan pendapat ini kerana ada juga ibu bapa yang menyogok anak-anak dengan duit poket yang banyak untuk anak-anak yang liat ke sekolah.

Sebetulnya, pemberian hanya layak diberikan kepada anak-anak yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelajaran.

Kita sebenarnya membina satu pola pemikiran bahawa seseorang lebih mudah berubah jika disogokkan dengan pemberian.

Ini sebenarnya kurang membantu proses pemikiran kanak-kanak yang secara tidak langsung menganggap wang atau hadiah adalah kunci kepada perubahan tingkah laku.

Ia dikhuatiri menjadi budaya yang mempengaruhi kanak-kanak apabila mereka membesar.

Penulis adalah Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Metro Ahad

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 6:30am
d