cermin-sisi

<strong><em>Sudah 40 kali hadiri 'kursus' tapi...</em></strong>

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

Alhamdulillah, kita dipanjangkan usia untuk sekali lagi berkesempatan menerima kehadiran Ramadan. Pelbagai makna, tafsiran, perspektif, cara dan kaedah setiap daripada kita menyambut bulan yang amat istimewa ini.

Ada yang menganggapnya bulan ibadah, tapi tak kurang juga yang menjadikan Ramadan bulan untuk berpesta juadah. Ada yang menerima Ramadan sebagai bulan berehat dan ada juga yang menjadikannya bulan rezeki.

Satu daripada tafsiran paling popular dalam kalangan Mukmin ialah Ramadan disambut sebagai bulan latihan atau kursus. Daripada situlah timbulnya istilah madrasah Ramadan.

Kepada yang melihat daripada perspektif ini, Ramadan cuba dimanfaatkan untuk melatih dan memperbaiki diri serta memperbetulkan kesilapan dengan tujuan menjadi insan yang lebih baik.

Saya percaya inilah yang dilakukan atau cuba dilakukan kebanyakan daripada kita. Justeru, penulisan ini bertujuan mengajak pembaca untuk sama-sama menilai atau muhasabah diri dengan satu persoalan:

Apakah keputusan atau pencapaian daripada kursus atau latihan Ramadan yang sudah kita lalui selama ini? Adakah kita lulus cemerlang, sederhana atau gagal?

Kalau kursus atau madrasah Ramadan itu kita ibaratkan seperti pengajian peringkat universiti untuk mendapat segulung ijazah, adakah kita merangkul ijazah kelas pertama, kedua peringkat tinggi atau kelas kedua peringkat rendah.

Atau, kita sekadar mendapat ijazah kelas ketiga atau lebih teruk lagi, terus gagal bergraduasi dan tidak layak memiliki segulung ijazah yang diidam-idamkan.

Biarlah saya melihat ke dalam diri saya sendiri, tanpa perlu melihat atau menilai orang lain. Saya mula berpuasa penuh sebulan Ramadan pada usia lapan tahun, bermakna sudah 40 kali saya memasuki kursus Ramadan yang setiap satu sesi memakan masa hampir 30 hari.

Persoalannya, apakah gred purata pencapaian saya sepanjang 40 kali kursus Ramadan itu? Gred A+, A, B, C, D, E, E - ataupun F yang bermakna gagal?

Kata ustaz, kalau nak tahu sejauh mana kualiti puasa dan segala amal ibadat yang kita lakukan sepanjang Ramadan, lihatlah bagaimana diri kita pada Syawal dan bulan seterusnya.

Kalau tahap iman dan perangai kita selepas Ramadan tak jauh bezanya dengan sebelum Ramadan, ia bermaksud puasa dan amalan kita sepanjang Ramadan kurang berkualiti. Ia juga bermakna kita gagal menjadi peserta kursus Ramadan yang cemerlang.

Hakikatnya, kita menghadiri kursus Ramadan dengan matlamat dapat mempraktikkan segala amalan positif yang dilakukan sepanjang satu bulan ke-11 lagi bulan berikutnya, atau sehingga Ramadan akan datang.

Malangnya, ramai daripada kita terus meninggalkan latihan kursus itu sebaik saja Syawal menjelma. Ada juga yang mampu bertahan sehingga dua tiga bulan, namun ramai gagal mengekalkan reputasi sehingga Ramadan tahun berikutnya.

Berbalik kepada persoalan apakah gred purata saya sepanjang 40 kali menyertai kursus Ramadan? Sejujurnya dan saya amat yakin jawapannya bukanlah A+ atau A mahupun B.

Rasanya juga, saya bukanlah mendapat gred F yakni gagal. Jadi, pencapaian saya mungkin sekadar antara gred C, D atau E. Ya, itulah penilaian saya terhadap diri sendiri dan saya tidak malu untuk mengakui kelemahan ini.

Jadi, jika saya dinilai daripada perspektif dunia pendidikan atau pekerjaan, nyata saya bukanlah seorang penuntut atau pekerja yang berkualiti dan cemerlang.

Betapa tidak, biarpun sudah 40 kali menghadiri kursus, kualiti diri saya masih tidak banyak berubah. Kali ini Ramadan datang lagi dan hari ini saya berada pada hari pertama madrasah Ramadan bagi kali yang ke-41.

Insya-Allah saya akan terus berusaha untuk menjadi peserta kursus yang cemerlang. Doakan Ramadan saya kali ini lebih baik dan berjaya berbanding 40 Ramadan yang pernah saya lalui.

Kepada pembaca yang keputusan gred purata kursus Ramadan masing-masing sepanjang tempoh usia yang lalu lebih kurang sama dengan saya, ayuh kita sama-sama mencipta kemajuan pada tahun ini.

Berkat iltizam dan kesungguhan, serta diiringi keikhlasan dan pemahaman dalam setiap ibadat yang dilakukan, mudah-mudahan keputusan yang bakal kita peroleh di akhir kursus Ramadan tahun ini mampu naik satu anak tangga.

Sekurang-kurangnya, daripada gred D kepada D+, atau daripada C kepada C+, insya-Allah.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Disiarkan pada: May 27, 2017 @ 2:59am
d