cermin-sisi

<strong><em>LGBT: Tabik spring kepada ustaz MAIS</em></strong>

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

Apabila disebut saja LGBT atau ‘nama penuhnya’ lesbian, gay, biseksual dan transgender, apa yang hinggap di fikiran kebanyakan kita lazimnya akan menjurus kepada sesuatu yang negatif.

Tergambar di fikiran kita kelompok manusia yang dianggap ingkar dengan ketentuan Tuhan. Dilahirkan sebagai lelaki tetapi mereka nak jadi perempuan atau sebaliknya.

Malah, ada juga dalam kalangan kita yang pantas mengaitkan golongan LGBT ini dengan pelacuran. Seolah-olah semua mak nyah, gay dan lesbian mencari nafkah dengan menjadi pekerja seks dan tiada pekerjaan lain.

Maka dengan mudahlah kita menganggap diri kita lebih baik daripada mereka, memandang jijik terhadap golongan ini dan melabelkan mereka sebagai pendosa, golongan dilaknat dan sebagainya.

Namun, jikapun tanggapan negatif kita terhadap LGBT ini benar, pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri apa tindakan dan usaha kita untuk memperbetulkan golongan yang kita anggap ingkar dan pendosa ini?

Mungkin ada yang terkejut dengan soalan ini kerana prinsip yang dipegang selama ini ialah: “Ada aku kesah..!!!” Ya, ramai dalam kalangan kita lazimnya hanya cenderung untuk mencerca tanpa pernah sedikitpun terfikir nak membantu mereka kembali ke pangkal jalan.

Ini kerana, bagi kita golongan LGBT ini tiada kena mengena dengan kita. Jadi, tak perlulah untuk kita mendekati dan membantu mereka.

Mungkin, jika ada anak, adik beradik atau sanak saudara kita yang terperangkap dalam dunia mak nyah, gay atau lesbian, barulah kita nak ambil tahu dan terfikir mengenai golongan ini.

Atas sebab itulah saya benar-benar ‘tabik spring’ kepada individu yang begitu cakna dan prihatin serta sanggup bersusah payah mendekati dan seterusnya membimbing LGBT ini untuk kembali ke pangkal jalan.

Kelmarin, saya berkesempatan berbuka puasa dengan sekumpulan mak nyah di Rumah Persatuan Amal Firdausi (PAFI) di Bandar Baru Ampang, di pinggir ibu kota.

Saya ke sana kerana ingin berjumpa dengan pendakwah Ustaz Hanafiah Abdul Malek, yang kini gigih berjuang mengatasi penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya.

Biarpun menderita diserang kanser, dia yang saya panggil Ustaz Hanafi dan popular melalui rancangan Tanyalah Ustaz di TV9 tetap tak duduk diam. Jadual aktiviti dakwahnya penuh setiap hari.

Jadi, apabila tahu Ustaz Hanafi ada program di PAFI saya bergegas ke sana untuk bertemunya dan bertanya khabar selepas lebih dua tahun kami tidak bertemu. Ketika saya tiba kira-kira jam 7 malam, Ustaz Hanafi rancak memberi tazkirah di hadapan kira-kira 100 orang.

Audiennya, golongan mak nyah, bekas penagih dadah, pesakit HIV dan Aids, remaja yang menjalani proses pemulihan akhlak dan kanak-kanak yang disisihkan kerana ibu atau bapa mereka bermasalah, sama ada penagih dadah atau pelacur.

Penganjur majlis ini ialah PAFI yang banyak menerima bantuan kewangan dan bimbingan daripada ustaz Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), khususnya di Bahagian Pembangunan Sosial yang diketuai Ahmad Shahir Makhtar.

Selepas berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah, sebahagian audien pulang manakala sebahagian lagi iaitu kumpulan mak nyah, sukarelawan PAFI termasuk Presidennya, Raffie Jaafar dan beberapa kakitangan MAIS menyambung pula program dengan solat Isyak dan Tarawih berjemaah.

Selesai solat Tarawih, saya berbual dengan beberapa mak nyah dan bertanya mengenai aktiviti mereka bersama PAFI, apa yang membuatkan mereka menyertai PAFI serta program diaturkan MAIS.

“Ustaz-ustaz MAIS memang terbaik. Mereka menerima kami seadanya. Tidak memaksa kami untuk berubah serta-merta menjadi lelaki, sebaliknya sekadar mengajar kami mengaji al-Quran dan ilmu agama yang akhirnya menginsafkan kami,” kata mak nyah mahu dikenali sebagai Syam.

Kata Syam, selama ini masyarakat hanya tahu menghukum dan menghina mak nyah tapi langsung tidak mahu mendekati dan membimbing mereka.

“Sebab itu apabila ada beberapa rakan (mak nyah) senior yang kini aktif dengan program agama sambil dibimbing ustaz MAIS ajak saya menyertai mereka, saya turut berminat,” katanya.

Ahmad Shahir pula memberitahu, MAIS menjalankan aktiviti memberi bantuan kewangan dan bimbingan kelas agama kepada golongan mak nyah, bekas penagih, pesakit HIV dan Aids serta lain-lain yang dikategorikan di bawah asnaf al-riqab.

Menurutnya, al-riqab secara literalnya bermaksud individu yang terbelenggu dan ia merujuk kepada golongan hamba abdi ketika zaman pemerintahan kerajaan Islam di Makkah dan Madinah dulu.

“Zaman sekarang sudah tiada hamba abdi. Namun, hanya di Selangor dikeluarkan fatwa ada 27 golongan termasuk mak nyah, bekas penagih, pesakit HIV yang dikategorikan sebagai asnaf al-riqab dan mereka ini layak menerima zakat.

“Alhamdulillah segala usaha kami mendekati dan membimbing golongan ini mendapat maklum balas positif daripada mereka,” katanya.

Menjawab soalan, apa yang mendorong MAIS mendekati golongan al-riqab itu, Ahmad Shahir berkata:

“Ini soal akidah. Kalau tidak dibantu mereka akan terus sesat. Apabila itu berlaku, kita juga akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak kenapa tak buat apa-apa.

“Jadi, kepada semua umat Islam, janganlah hanya mengata dan menghina. Marilah sama-sama membantu memulihkan golongan ini yang sudah sekian lama disisihkan.”

Jadi, tepuk dada tanya diri sendiri. Apa sumbangan kita dalam menangani isu LGBT dan lain-lain golongan yang disisihkan ini?

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Disiarkan pada: June 17, 2017 @ 1:36am
d