cermin-sisi

Kompromi hingga membawa padah

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

Maka bersahut-sahutan dan bertebaranlah pelbagai komen, teori serta tuding-menuding mencari kesalahan sejurus 21 pelajar tahfiz bersama dua guru mereka rentung dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, pagi kelmarin.

Seluruh negara berduka disulami rasa kecewa kerana tragedi kebakaran yang mengakibatkan kematian membabitkan institusi pendidikan peringkat awal berorientasikan agama berulang lagi.

Berdasarkan laporan akhbar sepanjang 2016 hingga Julai lalu saja, sekurang-kurangnya 15 kebakaran direkodkan membabitkan sekolah pondok dan asramanya, sekolah agama dan juga pusat tahfiz.

Menyorot lebih jauh ke belakang, paling diingati ialah kebakaran Madrasah Taufiqiah al-Khairiah atau ‘pondok Pak Ya’ di Guar Chempedak, Kedah pada 1989 yang meragut 27 nyawa pelajarnya.

Selepas puluhan tahun berlalu, keadaan rupa-rupanya masih lagi ‘pi mai, pi mai, tang tu’, sekali gus membawa mesej memang ada yang tidak kena dalam perjalanan sekolah agama dan pusat tahfiz di negara kita.

Jika ingin diangkat aspek kelemahan dan kealpaan dalam pengurusan sekolah pondok dan pusat tahfiz persendirian, memang banyak yang boleh diceritakan berdasarkan pengalaman wartawan akhbar ini membuat beberapa siri laporan mengenai perkara itu.

Namun, terlintas di fikiran apakah ia tindakan paling wajar. Mungkin ada hati yang akan terguris dan menganggap golongan wartawan seperti saya hanya tahu mencari kesalahan dan menelanjangkan kelemahan orang lain saja.

Pada masa yang sama, jika tidak didedahkan kelemahan yang wujud dan dipendamkan segala-galanya, masalah akan berterusan, sekali gus memungkinkan tragedi serupa berulang dengan puluhan nyawa lagi akan melayang.

Mungkin itulah dilema yang turut dirasakan pihak berkuasa yang sepatutnya bertanggungjawab untuk memastikan operasi sekolah pondok dan pusat tahfiz di negara ini berjalan di atas landasan yang betul dalam aspek sukatan pelajaran mahupun ciri keselamatan.

Sudah menjadi lumrah dalam kalangan masyarakat kita untuk cenderung berkompromi dalam hal yang berkaitan agama. Atas alasan demi agama, ramai yang tidak kisah jika peraturan dan undang-undang dilanggar.

Justeru, kehilangan 23 nyawa penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah kali ini saja, bukan kesalahan dan kelemahan satu atau dua pihak, sebaliknya membabitkan kita semua.

Budaya ‘tidak kisah’ dan ‘tidak apa’ kononnya atas nama atau tujuan agama menyebabkan kita turut ‘tidak kisah’ dan ‘tidak apa’ untuk bersikap cuai, hingga kita akhirnya terjerat.

Kita memang digalakkan berkompromi untuk mewujudkan keharmonian dan mengelak persengketaan, tapi ia harus pada tempatnya. Bukan kompromi yang membawa padah.

Agensi kerajaan seperti jabatan agama, jabatan pendidikan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta jabatan bomba dan penyelamat tidak sepatutnya membenarkan pusat tahfiz atau sekolah agama beroperasi jika sukatan pelajaran dan aspek keselamatan gagal dipatuhi.

Ibu bapa turut ada tanggungjawab untuk memastikan anak masing-masing hanya dihantar ke sekolah pondok atau pusat tahfiz yang mematuhi sukatan pelajaran dan ciri keselamatan ditetapkan kerajaan.

Setiap ahli masyarakat pula sepatutnya peka dan ada sikap keprihatinan yang tinggi dengan menegur serta membuat aduan jika ada sekolah pondok dan pusat tahfiz yang beroperasi tanpa mengikut peraturan.

Selagi pemikiran dan sikap ini gagal diubah dalam kalangan struktur masyarakat kita, selagi itulah masalah kelemahan ciri keselamatan di sekolah pondok dan pusat tahfiz ini akan berterusan.

Berkaitan dengan budaya ‘tidak kisah’ dan ‘tidak apa’ ini, izinkan saya mengakhiri penulisan kali ini dengan cerita di sebalik tabir yang saya peroleh daripada beberapa ustaz yang terbabit secara langsung dan amat dekat dengan komuniti pengusaha pusat tahfiz.

Kata mereka, memiliki madrasah, sekolah agama atau pusat tahfiz adalah cita-cita setiap individu yang bergelar pendakwah, ustaz, apatah lagi ulama.

Ini kerana, cara itu antara pendekatan terbaik untuk memastikan mereka mendapat pahala berterusan biarpun selepas tiada lagi di dunia ini.

Malangnya, ada ustaz yang ghairah membuka madrasah atau pusat tahfiz biarpun belum bersedia sama ada daripada sudut kepakaran ataupun kewangan.

Bagi mereka, yang penting buat dulu dan insya-Allah bantuan daripada Allah SWT akan menyusul kemudian dan di sinilah satu lagi punca wujudnya pelbagai kelemahan serta masalah di dalam operasi institusi pendidikan agama yang diusahakan.

Sekali lagi ingin saya tegaskan, seharusnya tiada kompromi dalam hal ini. Tidak adil untuk kita mengharapkan bantuan daripada Allah SWT sedangkan pada masa sama kita menggadai nyawa anak-anak yang tidak berdosa.

Apa yang berlaku sekarang, ada institusi pendidikan agama dibiarkan beroperasi bukan saja dengan keadaan serba kekurangan dan kelemahan, malah diselubungi pelbagai aspek kecuaian.

Semuanya dengan alasan....demi agama. Benarkah Islam mengajar kita begitu? Maaf, jika ada yang sensitif dan terguris dengan teguran ini, namun bagi saya kesucian dan kesempurnaan Islam harus diletakkan pada tempatnya serta tidak sepatutnya dicemari.

Islam mengajar kita supaya menegur apa yang salah dan pendakwah serta ustaz yang sememangnya arif dalam agama wajar juga menerima pendapat pihak lain yang bukan ahli dengan berpegang kepada prinsip ‘lihat apa yang dikata, bukan siapa yang berkata.’

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Disiarkan pada: September 16, 2017 @ 7:49am
d