cermin-sisi

Macam mana nak tegur remaja bermasalah

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

Masih mengenai Darul Quran Ittifaqiyah. Api marak yang meragut 23 nyawa penghuninya sudah lama padam, namun duka yang ditinggalkannya kekal terasa, seolah-olah masih menghiris jiwa sanubari masyarakat Malaysia.

Sejak tragedi berlaku pada 14 September lalu, perspektif dan fokus bicara masyarakat yang saya pantau melalui media konvesional dan laman sosial di pelbagai platform menunjukkan berlaku satu proses transformasi.

Pada peringkat awal kejadian, ramai memperkatakan aspek keselamatan Darul Quran Ittifaqiyah dan pusat tahfiz lain, selain sekolah pondok dan agama swasta.

Dalam keghairahan melontar pandangan, ada yang terbabas kata sehingga memaki hamun ustaz dan pengusaha tahfiz serta mencadangkan ditutup saja institusi pendidikan agama yang tidak berdaftar.

Bagaimanapun, selepas pihak berkuasa merumuskan kebakaran disebabkan perbuatan khianat dan disusuli penahanan tujuh suspek remaja berusia 11 hingga 19 tahun, perhatian dan fokus bicara dalam kalangan anggota masyarakat mula berubah.

Mereka mula berhujah dan berdebat mengenai tajuk yang berkisar kepada kecuaian ibu bapa, keruntuhan institusi masyarakat, kelemahan sistem pendidikan negara dan turut mempersoalkan kewibawaan pemimpin kerajaan.

Ada yang berhujah dengan berhemah dan mengikut akal, tidak kurang juga yang kecundang dalam ledakan emosi serta ikut sedap mulut saja. Apapun, pada dasarnya semua pihak terkejut dan bimbang.

Tiada siapa menduga pemergian 21 anak syurga bersama dua guru mereka dalam keadaan menyayat hati ketika azan Subuh sayup berkumandang, rupa-rupanya ada kaitan dengan perbuatan khianat yang mungkin didalangi tujuh remaja.

Tujuh remaja itu sudah tidak bersekolah biarpun di situlah sepatutnya mereka berada dan enam daripada mereka pula didapati terbabit dengan penyalahgunaan dadah jenis ganja dan syabu.

Kewujudan remaja bermasalah seperti tujuh suspek terbabit yang kini direman polis, memberi gambaran jelas mengenai kelemahan atau kerapuhan di dalam institusi sosial kita.

Sama ada kita suka atau tidak, itulah hakikatnya. Ramai antara kita yang sering terserempak dengan kumpulan kanak-kanak dan remaja bermasalah ini kerana mereka ada di sekeliling kita, sama ada di persekitaran rumah, pusat bandar mahupun di lokasi tumpuan awam.

Mereka berpakaian ranggi, rambut berwarna keperangan, ada yang panjang dan ada yang digunting pendek di tepi tapi panjang di tengah. Menghisap rokok sudah kemestian dan mereka bertambah rosak apabila ada yang mengambil dadah.

Dadah pula ada pelbagai jenis, antaranya ganja, pil kuda, heroin dan syabu. Selain itu, sebahagiannya memilih cara lain untuk khayal dan berhalusinasi iaitu dengan minum arak, menghidu gam atau minum air ketum yang dicampur pelbagai bahan asing.

Apabila terserempak dengan mereka apa kita buat? Hati berasa sakit hati bercampur meluat tapi nak tegur rasa takut. Kalau tak kena cara, kita yang dimarah atau dimaki. Inilah dilema dialami kebanyakan kita.

Akhirnya kita memilih berdiam diri dan buat-buat tak tahu. Tanpa kita sedari, keputusan dan tindakan sebegitulah yang menjadi antara punca utama remaja bermasalah ini, berasa hebat serta berkelakuan semakin liar dan ganas.

Apa jawapan kepada masalah ini? Pada hemat saya, di sinilah perlunya kepakaran dan kemahiran dalam satu bidang yang dinamakan ‘dakwah lapangan’. Terma ini diperkenalkan kepada saya oleh Ustaz Kamaruddin Kassim atau mesra juga dengan panggilan Ustaz Din.

Beliau seorang aktivis masyarakat sepenuh masa dari Sungai Petani, Kedah yang saya kenali ketika membongkar gejala Black Metal di utara tanah air kira-kira 15 tahun lalu.

Ustaz Din masih aktif dan kini menaungi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), antaranya Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) dan Skuad Jejak Asnaf (SJA) Persatuan Sayang Sungai Petani.

Selain tidak duduk diam menyelusuri lorong hitam mendampingi golongan gelandangan, penagih dadah dan pelacur supaya mereka kembali ke landasan hidup benar, Ustaz Din juga aktif berceramah bagi berkongsi pendekatan dakwah lapangan yang dilakukannya.

“Berdakwah tak boleh sekadar memberikan ceramah di dalam dewan atau tak habis-habis bermesyuarat atau berseminar di dalam bilik berhawa dingin.

“Kita kena turun padang untuk dekati golongan bermasalah, baru kita lebih faham dan tahu cara terbaik untuk membantu mereka bagi kebaikan masyarakat keseluruhan.” Itu yang sering Ustaz Din beritahu saya.

Pada pandangan saya, golongan pendakwah lapangan atau pendakwah jalanan seperti Ustaz Din tidak ramai. Ramai pendakwah dan ahli kaunseling lebih suka melunaskan aktiviti mereka di zon selesa.

Saya tidak memperkecilkan sumbangan mereka namun apabila kita memperkatakan mengenai gejala sosial, keruntuhan akhlak remaja dan kerapuhan, institusi rumah tangga serta komuniti setempat, pendekatan dakwah lapangan adalah yang terbaik.

Kata Ustaz Din, dakwah lapangan ada kaedah dan strategi tersendiri. Antara elemen penting selain turun padang ialah membuat soal selidik di lokasi sasaran untuk mewujudkan satu pangkalan data.

Sebagai contoh, ahli jawatankuasa masjid dan surau, persatuan penduduk dan rukun tetangga antara pihak yang perlu berperanan untuk mengumpul maklumat terperinci mengenai ahli komuniti mereka.

“Daripada situlah kita akan dapat tahu siapa individu bermasalah di dalam komuniti kita, sama ada penagih dadah, orang miskin atau ibu tunggal yang memerlukan bantuan.

“Kaedah ini perlu kerana pada masa ini ramai di antara kita tak kenal jiran dan tak ambil tahu langsung pasal ahli masyarakat kita. Kalau kenal pun tidak, macam mana nak tegur kesilapan atau bantu kekurangan mereka,” kata Ustaz Din.

Saya amat menyokong pendekatan dakwah lapangan yang dilakukan Ustaz Din dan berharap semua ketua komuniti termasuk ahli jawatankuasa masjid dan surau segera memahirkan diri dengan kaedah ini.

Jika setiap daripada kita prihatin, bertanggungjawab dan ada kemahiran dalam dakwah lapangan untuk menguruskan kepincangan di dalam komuniti masing-masing, insya-Allah keseluruhan negara kita akan lebih sejahtera.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Disiarkan pada: September 23, 2017 @ 6:19am
d